Peniaga mesti manfaat e-dagang di normal baru

Perniagaan Chan Abdullah 02-Jun-2020
E-dagang terus kukuh di normal baru © Panithi33 | Dreamstime.com

Platform e-dagang bukanlah sesuatu yang asing di negara Malaysia ini. Pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kadar transaksi di platform e-dagang bertambah dengan pesat. Malah sejak tahun 2017 lagi, nilai industri e-dagang di Malaysia sudah berjumlah RM24.6 billion.

Di Malaysia khususnya, pelbagai platform e-dagang telah diwujudkan bagi memudahkan urusan transaksi antara penjual dan pembeli. Laman-laman web terkenal seperti Lazada, 11street (PrestoMall), mudah.my, lelong.com dan juga Shopee sememangnya mendapat kunjungan trafik yang tinggi setiap hari.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh iPrice pada tahun 2017 (iPrice Group merupakan laman web e-dagang meta-carian), Lazada berada di senarai teratas syarikat e-dagang utama di Malaysia, diikuti Zalora dan 11street, berdasarkan kepada trafik dalam talian mereka.

Laman web Lazada menerima purata 29 juta pengunjung setiap bulan manakala 11street sembilan juta pengunjung.

Pertambahan dan persaingan laman web e-dagang seperti Shopee dan beberapa platform hasil anak tempatan seperti Onpay dan Ordersini dilihat sebagai satu perkara yang positif. Platform e-dagang hasil anak tempatan ini walaupun baru, tetapi mempunyai kualiti yang tinggi dan lebih memahami permintaan dan corak perniagaan rakyat tempatan.

Sebagai peniaga, rugi jika tidak memanfaatkan platform e-dagang yang terdapat di pasaran Malaysia hari ini. Melalui perkembangan dunia digital, industri e-dagang dalam negara turut menerima impak yang positif.

Bukan sekadar peniaga, malah golongan petani, penternak dan juga nelayan boleh memanfaatkan platform e-dagang ini. Dalam hal ini, Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee berkata, “Persekitaran e-dagang Malaysia masih lagi dalam tahap pertumbuhan yang hebat. Bagi kami, itu bermakna ini bukanlah masa untuk memperlahankan diri. Kami mengenal pasti lebih banyak bidang untuk diteroka, seperti segmen baharu, untuk mewujudkan persekitaran membeli-belah dan menjual secara atas talian yang lebih dinamik.”

Berita ini adalah satu petanda yang baik untuk pembangunan industri e-dagang di Malaysia. Persaingan yang sihat di antara peneraju platform e-dagang serta keyakinan pengguna untuk menggunakan platform e-dagang pasti akan mengukuhkan lagi industri ini. Bagi rakyat Malaysia, platform e-dagang sudah terbukti berkesan dalam mendapatkan semua keinginan dan keperluan secara atas talian, terutamanya semasa PKP.

Bagi peniaga pula, kewujudan platform e-dagang ini dapat memberikan pendedahan trafik yang cukup tinggi kepada perniagaan mereka. Bukan setakat pengguna di Malaysia, malah pengguna di luar negara turut mempunyai akses kepada produk yang mereka jual. Sebagai peniaga dalam kalangan Muslim, jangan lepaskan peluang untuk memanfaatkan platform e-dagang ini dengan sebaiknya.

Ayuh kita terus bergerak seiring kemodenan teknologi. Peluang sudah terhidang di depan mata, rebutlah kesempatan ini. Pastikan etika perniagaan menurut perspektif Islam terus difahami dan dijaga. Keuntungan dalam perniagaan Islam bukan sahaja dinilai dari aspek material tetapi yang utama adalah mendapat berkat dan reda Allah SWT. Semoga perniagaan anda berkembang pesat melalui penggunaan platform e-dagang.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!