Penjagaan dan rawatan gigi ketika berpuasa

Kehidupan Chan Abdullah 12-Mei-2020
Rawatan gigi am dibolehkan © Aqnus Febriyant | Dreamstime.com

Kita tidak boleh lari daripada melakukan rawatan gigi. Namun, adakalanya kita risau untuk melakukan rawatan gigi di bulan Ramadan kerana bimbang puasa kita terbatal.

Jika anda adalah salah seorang daripadanya, dihuraikan di sini sepintas lalu akan penjagaan dan hukum melakukan rawatan pergigian pada siang hari di bulan Ramadan.

Rawatan pemutihan gigi atau bleaching adalah rawatan mengilatkan gigi yang telah kuning atau pudar warnanya. Hukum bagi rawatan memutihkan gigi adalah harus dan dibolehkan selama mana tidak menelan air semasa proses rawatan.

Ini adalah berdasarkan pandangan keputusan Majma’ al-Fiqhi al-Islami  atau Muslim World League [No. 93 (1/10) pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] yang menjelaskan bahawa “Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut” tidak membatalkan puasa.

Hal ini juga bertepatan dengan buku Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bahawa tidak batal puasa apabila “Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan atau pembersihan gigi dan memberus gigi menggunakan siwak (tooth cleanser) dengan syarat individu tersebut tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.”

Berkumur menggunakan ubat kumur, jika digunakan secara biasa dan tidak berlebihan, tidak membatalkan puasa seseorang. Namun jika penggunaan ubat kumur mulut dan berkumur adalah secara berlebihan, dikhuatiri puasa terbatal jika ubat kumur tertelan masuk ke dalam perut.

Rawatan pergigian pula secara umumnya adalah dibolehkan sewaktu siang hari di bulan Ramadan. Ini kerana jenis rawatan am pergigian tidak membatalkan puasa.

Namun ada juga prosedur dan rawatan seperti pembedahan gigi bongsu yang memerlukan pesakit untuk berbuka. Ini kerana kebiasaannya selepas prosedur, pesakit perlu mengambil ubat antibiotik dan ubat tahan sakit bagi mengelakkan kemudaratan.

Penjagaan gigi dan mulut hendaklah selalu diamalkan. Mulut yang berbau akan menyebabkan orang di sekeliling anda berasa tidak selesa. Selain itu, penjagaan gusi dan gigi yang kurang baik juga bakal menyebabkan gigi anda mudah rosak.

Berpuasa bukanlah alasan untuk tidak menjaga kebersihan gigi dan mulut. Dalam Islam sendiri, kita digalakkan bersugi setiap kali sebelum mendirikan solat.

Tradisi Islam kita juga mengatakan yang kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Oleh itu, amalkan penjagaan kebersihan yang optimum. Kebersihan diri bermula dari diri kita sendiri.