Penting ketahui kisah hidup Nabi Muhammad SAW

Agama Hanita Hassan 29-Okt-2020
dreamstime_s_41623287
Masjid Nabawi di waktu malam di Madinah © Ayed Moeed Al Jedaani | Dreamstime.com

Mempelajari kehidupan tentang Nabi Muhammad SAW yang kita sanjungi adalah perkara yang sangat penting sebagai orang Muslim. Kita harus berusaha untuk mengikut sunah yang telah diajar oleh Baginda.

Apabila kita meluangkan masa untuk mempelajari lebih banyak perkara mengenai Rasulullah SAW, Allah SWT akan memberi ganjaran pahala kepada kita dan kita juga tidak akan tersesat di dunia ini.

Kehidupan Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk menjadi lebih kuat apabila berdepan dengan sesuatu masalah kerana Baginda menghadapi lebih banyak rintangan sepanjang hidupnya.

Rasulullah SAW suri teladan terbaik

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

(Surah Al Ahzab, ayat 21)

Belajar mengenai kehidupan Nabi Muhammad SAW akan menjadi panduan untuk kita mempratikkan sunnah Baginda. Kita mungkin sudah mengetahui akan kewajipan untuk mengikuti ajarannya.

Namun, kita masih belum membudayakannya dalam kehidupan seharian. Semakin banyak kita belajar tentang cara kehidupan dan keputusan yang dibuatkan oleh Baginda, maka semakin kita akan merasa terdorong untuk mengikut jejak langkah Baginda.

Membaca tentang kehidupan Nabi Muhammad SAW yang kita sayangi akan membuatkan kita merasa lebih dekat dengan Baginda. Kita akan lebih menghargai Baginda setelah memahami betapa besar pengorbanan yang telah dilakukan untuk meningkatkan tahap keimanan dan kepercayaan serta ibadah yang tulus terhadap Allah SWT.

Mempelajari tentang Nabi Muhammad SAW dan ganjaran pahala

Kita akan mengetahui betapa prihatinnya Rasulullah SAW kepada semua dan bagaimana perasaan Baginda terhadap kita dan seluruh umat Islam. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersama sahabat Baginda pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda yang bermaksud:

“Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita. Sahabat Baginda bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang Mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).”

Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana engkau mengenali orang-orang (beriman) yang datang setelah engkau dari kalangan umatmu? Baginda bersabda: Bukankah jika seseorang punya kuda yang sebahagian kecil bulunya putih akan mengenali kudanya di tengah kuda-kuda yang hitam legam? Mereka menjawab: Ya. Baginda berkata: Sesungguhnya mereka akan datang pada hari Kiamat dengan cahaya putih kerana wuduk. Dan aku akan menunggu mereka di telaga.”

(Hadis Riwayat Muslim, Ibn Majah, an-Nasa’ie dan Imam Malik)

Mempelajari tentang Nabi Muhammad SAW juga akan membantu kita memperoleh ganjaran pahala dan menggembirakan Pencipta kita. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Barang siapa yang menghidupkan sunnahku maka dia sungguh telah mencintaiku dan barang siapa yang mencintaiku, maka dia akan bersamaku di dalam syurga.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)