Pentingnya memelihara kehormatan diri

Sesuaikan diri di tempat awam © Suffieann Suatau | Dreamstime.com

Memelihara diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang diharamkan adalah antara tuntutan agama. Ia juga adalah antara sifat-sifat yang ada dalam diri orang yang bertakwa dan beriman kepada Allah SWT.

Di dalam satu hadis qudsi ada menyebut bahawa Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna.  Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi.

Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna.  Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.”  [Hadis Riwayat al-Bukhari (6491) dan Muslim (131)]

Apabila kita bertekad mahu menjaga kehormatan diri, kita perlu mengambil tahu batas-batasnya. Allah SWT telah memberikan pedoman kepada kita di dalam al-Quran, surah al-Nur, ayat 30 hingga 31.  Tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, kita hendaklah memelihara pandangan dan kemaluan daripada perbuatan yang dilarang Allah SWT serta menutup aurat dan menjaga maruah diri.

Menundukkan pandangan bagi lelaki dapat membantu membersih jiwa dengan menahan nafsu daripada melihat sesuatu yang mempesonakan syahwat sehingga boleh menimbulkan fitnah. Walau bagaimanapun, pandangan kali pertama tanpa sengaja dimaafkan.

Aurat juga perlu dipelihara agar menutup pintu maksiat.  Para ulama bersepakat bahawa menutup aurat sama ada dalam solat mahupun di luar solat adalah satu kewajiban  dan ia perlu dilakukan.

Bagi wanita, kita diwajibkan melabuhkan tudung sehingga ke paras dada.  Kita tidak boleh menzahirkan perhiasan dan kecantikan kecuali kepada beberapa orang tertentu. Antaranya ialah suami, bapa kandung, bapa mertua, anak lelaki kandung dan anak tiri lelaki (anak suami mereka).

Begitu juga dengan adik-beradik lelaki kandung, anak saudara lelaki (anak kepada adik-beradik lelaki atau perempuan), wanita Islam, hamba yang dimiliki, pelayan lelaki  yang tidak punya keinginan pada wanita (tidak upaya dari sudut mental dan tuntutan batin dan anak kecil yang tidak mengerti tentang aurat wanita).

Lelaki juga perlu memelihara aurat.  Anda tidak boleh menampakkan bahagian antara lutut dan pusat.  Hari ini kegilaan anak muda membina otot juga boleh menimbulkan keghairahan bukan kegagahan. Begitu juga dengan pakaian yang dikenakan.

Sekiranya ia dipakai sengaja untuk menampakkan susuk tubuh dan boleh menimbulkan fitnah, adalah lebih baik anda tidak memakainya.  Pakailah pakaian yang tidak menjolok mata serta menutup bahagian tubuh anda  kecuali muka dan tapak tangan kepada wanita bukan Islam.

Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu.”  (HR Muslim, 1337)

Justeru, sentiasalah kita mengambil berat akan aurat, menjaga pergaulan serta pandangan mata supaya tidak melanggar batasan.  Semoga kita dan keluarga serta seluruh umat Islam sentiasa dipelihara oleh Allah SWT.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!