Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Pentingnya mempelajari sejarah Islam

Dunia 18 Feb 2021
Pendapat oleh Hanita Hassan
Pentingnya mempelajari sejarah Islam
Pentingnya mempelajari sejarah Islam (foto: Istana dan kubu Alhambra di Granada, Andalusia, Sepanyol) © Nizarharith | Dreamstime.com

Sejarah melatih kita mengenal pasti sebab dan musabab kepada satu situasi.  Mengajar kita menganalisa dan menjadikannya panduan untuk kehidupan seterusnya.  Ia akan membawa kita memahami ke manakah arah yang hendak dituju berbekalkan apa yang berlaku di zaman silam.

Ibn Khaldun dalam karyanya ‘Mukaddimah’ menyatakan bahawa memahami sejarah membantu kita mengenal asal usul sesuatu bangsa.  Namun, yang paling penting ialah   memahami peristiwa lampau untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

Pentingnya mempelajari sejarah Islam

Ibnu Khaldun telah mengemukakan satu teori kitaran yang berlaku dalam tiga generasi.  Setiap generasi mengambil tempoh paling maksimum 40 tahun.  Namun tempoh terpanjang bagi suatu kepimpinan tamadun boleh mencecah sehingga 120 tahun.

Teori ini bukan pandangan peribadi Ibn Khaldun.  Ia dirakam di dalam kitab suci al-Quran bahawa kitaran tersebut sebagai satu sunnah yang bersifat pasti berlaku.

Ia bertujuan membersihkan anasir tidak baik dan memberi harapan ke arah perjuangan dan jihad kebaikan atau dengan istilah lain bersifat al-Hatmiyyah al-Tafa’uliyyah yang bermaksud kemestian jatuh untuk harapan bangun.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“…Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan). Kami gilirkan dia antara sesama manusia…”

(Surah Al-i Imran, ayat 140)

Iman Qurtubi menukilkan pandangan mengenai ayat di atas yang bermaksud:  “Situasi ayat ini ketika perang. Kadang kala memihak kepada orang beriman kerana Allah SWT membantu agama-Nya.

Kadangkala ia memihak kepada orang kafir, iaitu apabila orang beriman itu melakukan maksiat.  Kitaran ini bertujuan untuk menguji mereka dan menapis dosa-dosa mereka.  Adapun jika mereka itu tidak melakukan maksiat, sesungguhnya pasti Allah itulah yang menang.”

Penyebaran Islam dan asal usul bangsa

Teori kitaran ini telah dibincangkan sejak zaman Falsafah Yunani, ahli Falsafah Islam dan seterusnya ahli Falsafah Reinassance. Ia adalah realiti yang perlu menjadi teladan.  Apatah lagi ia turut difirmankan oleh Allah SWT dalam banyak ayat al-Quran.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kepada masyarakat Arab jahiliah telah mentamadunkan mereka sebagai bangsa mulia lagi disegani dunia.  Selepas Kota Konstantinopal ditakluk 1453, Islam terus tersebar luas.

Islam disebarkan sehingga ke seluruh Eropah dan Eropah Timur sehingga kepada zaman keruntuhannya di bawah Khilafah Uthmaniyyah tahun 1924 Masehi.  Umat Islam masih belum bangkit sejak itu.

Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15 dan awal abad ke-16 juga merupakan  sebuah empayar Melayu Islam yang begitu besar dan disegani.  Ia adalah pusat dagangan antarabangsa yang menjadi singgahan para pedagang dari Timur dan Barat.

Malahan, ia berjaya meluaskan wilayah takluknya ke beberapa buah negara di sekitar Nusantara dan membina hubungan baik dengan negara-negara seperti Siam (Thailand), China, Ryukyu (Jepun), Kembayat (India) dan Pegu (Burma).  Hari ini kegemilangan Melaka masih tidak dapat dicapai seperti dahulu.

Justeru, banyak iktibar yang boleh kita pelajari dengan mengenal asal usul bangsa terdahulu.  Semoga semua ini dapat memahamkan kita akan kehendak sebenar Islam, membuka hati untuk mengamalkan ajaran Islam seterusnya mengembalikan maruah umat Islam.