Pentingnya mengambil tanggungjawab

Masyarakat Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Pentingnya mengambil tanggungjawab
Pentingnya mengambil tanggungjawab © Sunan Wongsa Nga | Dreamstime.com

Bagaimana kita akan memenuhi kewajiban untuk bertaubat kepada Allah SWT atas kesalahan yang dilakukan sekiranya tidak mengakui bahawa kita pernah melakukan kesilapan.

Kita harus berhati-hati agar tidak sombong dan mengakui telah melakukan kesilapan.

Pentingnya mengambil tanggungjawab

Sekiranya kita tidak mempunyai kerendahan hati dan selalu menganggap diri kita betul, maka sukar untuk memperbaiki peribadi dan keimanan diri. Ia adalah kewajipan yang sangat penting dalam agama untuk bertanggungjawab atas segala tindakan yang telah dilakukan. Sentiasa bersifat rendah hati dan tidak sombong.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang taubat…”

(Surah al-Baqarah, ayat 222)

Mungkin dalam banyak situasi kehidupan kita telah melakukan kesilapan. Berhati-hatilah agar tidak mempunyai  pemikiran untuk tidak  mengakui kesilapan sendiri. Kita hendaklah meminta maaf apabila melakukan kesilapan dan menganggap ia sebagai perkara biasa.

Buang pemikiran  yang menganggap bahawa meminta maaf adalah perbuatan yang negatif dan memalukan. Tanya kepada diri sendiri mengapa kita enggan meminta maaf apabila melakukan kesilapan, kerana ia akan membantu memberi kesedaran dalam diri.

Tindakan seperti ini akan membuatkan kita menyedari hakikat bahawa menahan diri untuk menyelesaikan masalah, semata-mata kerana mempertahankan ego, atau demi menjaga reputasi, tidak akan membawa kebaikan.

Sekiranya kita semua berusaha melihat penyelesaian masalah sebagai perkara yang paling penting, maka menjaga ego atau mempertahankan reputasi bukanlah suatu yang penting lagi.

Kita hendaklah menginsafi diri bahawa pengampunan dan permintaan maaf dapat memperbaiki keadaan. Dan juga memastikan diri sentiasa meletakkan kepercayaan bahawa Allah SWT adalah Hakim yang hakiki.

Allah Taala melihat semua usaha yang dilakukan

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya.”

(Surah al-Qiyaamah, ayat 13)

Sekiranya kita memutuskan untuk menghukum tindakan orang lain, ataupun memutuskan untuk tidak mengambil langkah pertama dalam menyelesaikan masalah, maka kita hendaklah mengingatkan diri.

Bahawa Allah Taala melihat segalanya, dan sesungguhnya kepada Dia lah tempat kita bergantung. Semakin banyak kita memikirkan tentangnya, maka semakin banyak fokus yang akan diberikan untuk menyenangkan-Nya.

Permintaan maaf, pengampunan dan langkah untuk menyelesaikan masalah – semuanya hendaklah disertakan dengan niat untuk mendapat keredaan Allah SWT dan melakukan apa yang diajar berdasarkan ajaran Islam.

Kita perlu berusaha sebaik mungkin untuk membuang ego dan sifat sombong dalam diri, kerana ia tidak akan membawa apa-apa manfaat. Firman Allah Taala dalam al-Quran yang bermaksud:

“Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.”

(Surah an-Nahl, ayat 23)

Sekiranya kita merasakan bahawa memupuk perasaan rendah diri adalah sesuatu yang sukar, oleh itu berdoalah kepada Allah SWT untuk meminta bantuan dalam perkara ini. Kita harus mengingatkan diri bahawa Allah melihat semua usaha yang dilakukan.

Firman Allah Taala dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Hadid, ayat 4)