Penulis khat kerjaya pilihan

Ekonomi 11 Mac 2021 Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Penulis khat kerjaya pilihan
Penulis khat kerjaya pilihan © Kamarul Hafiz | Dreamstime.com

Kerjaya sebagai penulis adalah profesion yang sangat baik.  Ia adalah pekerjaan yang membolehkan anda berdakwah melalui tulisan yang anda nukilkan.  Selagi mana penulisan kita memberi manfaat kepada pembaca, ia akan menjadi amal ibadah berpanjangan walaupun setelah kita tiada.

Selagi mana orang membaca dan mengamalkan apa yang kita tulis, selagi itu kita memperoleh pahalanya.  Mungkin ramai kalangan anda di luar sana yang bercita-cita untuk menjadi seorang penulis.  Namun penulis yang bagaimanakah anda impikan?

Penulis khat kerjaya pilihan

Kelebihan menulis adalah bakat anugerah Allah SWT, namun tidak semua memiliki kebolehan ini. Bersyukurlah kerana terpilih memiliki bakat ini dan dapat berdakwah kepada masyarakat.

Begitu pun, mungkin ramai yang terlepas pandang akan kerjaya sebagai penulis khat atau dikenali sebagai penulis ayat suci al-Quran. Ia adalah kerjaya yang mula berkembang khususnya di Malaysia.

Kewujudan kilang penerbitan mushaf al-Quran di Putrajaya menjadikan ia kerjaya baharu yang memerlukan lebih ramai generasi muda celik al-Quran menceburinya.  Penulis khat juga mempunyai masa depan yang cerah.  Kerjaya ini tidak sama seperti penulis biasa. Ia adalah bidang seni tulisan Islam yang indah.

Tulisan khat adalah khazanah seni Islam paling berharga.  Generasi muda perlu membuka minda dan menjadikan ia amalan.  Ia kerana tiada bangsa lain yang mempunyai keistimewaan ini kecuali bangsa kita.

Seni tulisan khat sudah  ada dalam diri setiap jiwa dan darah kita. Justeru, ia bergantung kepada kita untuk mengasah bakat ini ataupun tidak. Bagi ibu bapa yang dapat mengesan keistimewaan ini dalam diri anak masing-masing, galakkan mereka dan dedahkan kepada dunia khat.

Sekiranya ada pertandingan seni khat, bantu mereka menyertainya. Pengalaman seperti ini membantu meningkatkan minat sekali gus memberi gambaran kerjaya yang boleh diceburi apabila mereka meningkat dewasa nanti.  Jika tidak anda yang mendorong anak-anak, siapa lagi.

Kelebihan mempelajari seni khat dan dakwah Islam

Kehidupan yang baik bukan hanya terletak kepada kerjaya profesional seperti doktor, peguam atau akauntan sepertimana yang dimomokkan oleh Barat suatu ketika dahulu. Selain daripada kerjaya yang disebut tadi, banyak kerjaya baharu yang muncul hari ini kesan kemunculan teknologi internet dan komunikasi.  Anda hanya perlu buka mata dan minda melihat kepada persekitaran demi usaha dakwah yang berterusan.

Sekiranya anda mahu memastikan tulisan jawi tidak pupus dan bercadang untuk mahir melakar kaligrafi secara serius, anda boleh mengembangkan bakat yang ada dengan menyertai Yayasan Restu yang menawarkan jurusan Diploma Seni Mushaf di Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam.

Banyak kelebihannya apabila anda terdetik mempelajari seni khat.  Antaranya ialah memudahkan anda membaca al-Quran dan jawi.  Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Nun, demi pena dan apa yang ditulisnya.”

(Surah al-Qalam, ayat 1-2)

Melalui pendekatan individu serta masa yang tepat boleh mendekatkan pelbagai lapisan masyarakat kepada budaya Melayu dan Islam. Usaha memberi pendedahan dan menggalakkan lebih ramai individu mempelajari seni khat melalui anjuran bengkel-bengkel khusus kepada pelajar dan golongan bekerja adalah satu gerakan dakwah yang diharap berterusan sepanjang masa.