Penulisan dan meneladani pengalaman orang lain yang mendewasakan

Psikologi Siti Suriani Othman
Pendapat oleh Siti Suriani Othman
Penulisan dan meneladani pengalaman orang lain yang mendewasakan
Penulisan dan meneladani pengalaman orang lain yang mendewasakan © Aqnus Febriyant | Dreamstime.com

Artikel ini akan membincangkan beberapa genre penulisan seperti biografi, autobiografi dan memoir yang berguna untuk dibaca. Penulisan sebegini dihasilkan untuk meneladani pengalaman orang lain agar dapat mendewasakan diri pembaca berdasarkan perkongsian kisah benar.

Tidak perlu alami kegagalan sendiri

Pengalaman mendewasakan, dan dialah guru yang terbaik. Sungguh benar kenyataan ini. Secara peribadinya, saya melihat amat penting kita memahami dan belajar daripada pengalaman orang lain supaya kesilapan sama tidak kita ulangi.

Tanpa perkongsian ini, kesilapan dapat dikurangkan dengan inspirasi hakikatnya tidak perlulah setiap individu perlu mengalami kesilapan yang sama untuk ‘dewasa’. Tambahan lagi, tiada undang-undang kehidupan yang menyatakan kita tidak boleh dewasa dengan belajar daripada pengalaman orang lain.

Pelajari pengalaman orang lain menerusi penulisan

Dalam bidang penulisan, genre penulisan kreatif yang memberi peluang hebat ini dikenali sebagai biografi atau autobiografi. Genre ini mendokumentasikan kisah hidup tokoh berdasarkan pengalaman sebenar dalam hidupnya.

Biografi ialah bentuk penulisan kisah hidup yang ditulis oleh orang lain berkaitan seseorang. Autobiografi pula ialah jenis penulisan kisah hidup juga, tetapi dihasilkan sendiri oleh individu atau tokoh itu sendiri.

Hakikat belajar daripada kejayaan, kesilapan dan pengalaman orang lain boleh menginspirasi dan boleh dijadikan sempadan. Itulah antara kepentingan membaca biografi atau autobiografi yang menyediakan platform untuk pengalaman menarik dikongsikan berkaitan susah payah dalam kehidupan seseorang dalam menggapai kejayaan.

Islam menekankan ‘Jangan biarkan pisang berbuah dua kali’

Dalam agama Islam, banyak sekali diceritakan kisah-kisah benar yang berlaku untuk diteladani umat yang akan datang.

Dalam surah Al-An’am, ayat 6 misalnya, Allah SWT berfirman, mafhumnya,

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyak generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, Padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, Yaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.”

Allah Taala turut berfirman:

 “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.”

(Surah Yusuf, ayat 111)

Kisah-kisah umat terdahulu sebagai teladan

Kisah-kisah umat terdahulu yang boleh diteladani ditulis dalam al-Quran agar kita dapat mempelajari kesilapan mereka dan tidak mengulanginya. Umat Islam haruslah tidak mengulangi kesilapan sama. Elakkan pisang berbuah dua kali sebagaimana disebut dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim:

“Seorang mukmin tidak tersengat pada lubang yang sama dua kali.”

Ditekankan dalam surah al-A’raf, ayat 27 bahawa umat Islam hari ini harus sentiasa mengelakkan maksiat supaya tidak ditipu sebagaimana kisah Adam a.s dan Hawa a.s:

“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga.”

Mengambil ibrah daripada kejadian lalu

Maka jelaslah, pengalaman orang lain harus kita teladani supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan mengelakkan melakukan maksiat sekaligus mengelakkan keburukan yang mungkin berlaku daripada sebuah keputusan yang salah.

Kisah-kisah daripada al-Quran, kisah-kisah benar kehidupan orang lain yang diceritakan dalam genre-genre penulisan seperti biografi, autobiografi mahupun memoir perlu dijadikan alat membantu melangsungkan kehidupan kita dengan mengambil ibrah daripada apa yang pernah dan telah berlaku.