Penutupan sementara lapangan plaza stesen LRT Masjid Jamek

Kehidupan Syed Safri 16-Apr-2020
Tren di LRT Masjid Jamek © Tikhonova Vera | Dreamstime.com

Prasarana Malaysia Berhad melalui Rapid Rail  Sdn. Bhd. mengumumkan penutupan sementara semua pintu keluar masuk ke kawasan plaza Stesen Transit Aliran Ringan Masjid Jamek (LRT) yang terletak bersebelahan OCBC Bank dan Bank Muamalat. Ia bermula hari ini sehingga 28 April. Tindakan ini adalah berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi sekitar kawasan Masjid India.

Namun, perkhidmatan LRT akan terus berjalan seperti biasa berpandukan waktu operasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pintu dan jalan keluar masuk ke Stesen LRT Masjid Jamek yang bersebelahan dengan Masjid Jamek juga masih dibuka seperti biasa.

Di kawasan plaza Stesen LRT Masjid Jamek ini, para pengguna yang mengikuti laluan ke LRT Kelana Jaya atau LRT Ampang / Sri Petaling hanya boleh melakukan penukaran tren sahaja. Bagi mereka yang menuju atau datang dari arah Sentul Timur, mereka perlu menggunakan terowong sambungan untuk bertukar destinasi, atau untuk keluar masuk melalui bahagian stesen yang tidak ditutup, iaitu bahagian sebelah Masjid Jamek.

Kesemua langkah-langkah perubahan ini adalah perlu bagi membantu pihak berkuasa dalam mengawal pergerakan orang awam supaya tidak perlu pergi ke kawasan yang terjejas.

Para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam disarankan agar dapat merancang perjalanan berikutan penutupan sementara kawasan di sekitar stesen ini. Seterusnya, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi PKP dan menjaga jarak sosial yang ditentukan.

Maklumat lanjut boleh didapati di akaun media sosial Rapid KL atau melalui talian bantuan di 03-7885 2585.