Penyakit Anoreksia: Jadi terlalu kurus jika anda tidak makan!

Kesihatan Fizikal Md Wa'iz
Terkini
Penyakit Anoreksia: Jadi terlalu kurus jika anda tidak makan!
Penyakit Anoreksia: Jadi terlalu kurus jika anda tidak makan! © calypsoArt | Dreamstime.com

Pernahkah anda melihat individu yang melakukan diet sehingga menjadi sangat kurus? Mereka yang seperti ini berkemungkinan mengalami penyakit anoreksia atau disebut sebagai anoreksia nervosa.

Apakah tanda-tanda atau simptom penyakit anoreksia?

Mengenali penyakit anoreksia

Anoreksia ialah sejenis penyakit gangguan pemakanan yang dicirikan oleh penurunan berat badan yang mendadak sehingga menjadi tidak normal.

Mereka yang mengalami gangguan pemakanan ini biasanya mempunyai rasa takut dan risau yang melampau bahawa mereka akan mengalami kenaikan berat badan. Mereka biasanya sangat mengawal rupa bentuk tubuh mereka sehingga menggunakan pelbagai kaedah untuk menjadi semakin kurus.

Biasanya, kaedah utama yang mereka lakukan untuk menjadi kurus adalah dengan mengehadkan pemakanan mereka bagi menguruskan badan. Salah satu cara lain pula ialah dengan memuntahkan makanan sejurus selepas makan. Ini bertujuan ingin mengawal pengambilan kalori harian.

Jangan terkejut kerana ada individu yang menggunakan pelbagai cara untuk memuntahkan makanan seperti menggunakan julap dan ubat diet.

Apakah punca yang menyebabkan seseorang mengalami penyakit anoreksia

Punca utama yang menyebabkan penyakit anoreksia ini tidaklah begitu diketahui. Namun, ia mungkin terjadi disebabkan oleh gabungan faktor di bawah ini:

Biologi

Berkemungkinan terdapat perubahan genetik dan juga hormon dalam tubuh seseorang yang menyebabkannya mengalami penyakit anoreksia. Ada yang mempunyai genetik kearah kesempurnaan. Ada juga yang mungkin disebabkan oleh hormon serotonin dalam otak yang menyebabkan anoreksia.

Persekitaran

Salah satu faktor lain adalah kerana tekanan orang yang berada di sekeliling. Sebagai contoh, kita menganggap bahawa orang yang kurus dan langsing sahaja yang menawan. Oleh sebab itu, ada individu yang sanggup menguruskan tubuh mereka dengan cara yang ekstrem kerana mahu dilihat menawan di mata orang lain.

Psikologi

Ada juga individu yang mengalami anoreksia disebabkan oleh faktor psikologi seperti mempunyai ciri personaliti obsesif kompulsif (OCD). Individu yang mempunyai OCD biasanya mempunyai sifat obses terhadap sesuatu yang menyebabkan mereka mudah melakukan perkara ekstrem semata-mata untuk menjadi kurus.

Tanda atau simptom seseorang mengalami penyakit ini

Berikut adalah tanda-tanda lain yang menandakan seseorang itu mengalami anoreksia:

  • Tidak mengekalkan berat badan yang normal
  • Kerap berasa letih
  • Mengalami gangguan kesukaran untuk tidur atau insomnia
  • Kuit menjadi kuning
  • Rerambut atau bulu pada tubuh mudah gugur
  • Mengalami sembelit
  • Bagi wanita, mereka tidak akan datang haid selama lebih tiga kali
  • Kulit menjadi mengering
  • Tekanan darah yang rendah
  • Kerap bersenam secara melampau
  • Tidak mahu makan atau makan dengan kuantiti yang sangat kecil
  • Tidak terlibat secara sosial dengan orang lain
  • Mengalami kemurungan
  • Tidak menyatakan bahawa mereka sedang berasa lapar
  • Menggunakan pelbagai ubat-ubatan untuk menjadi kurus

Mengekalkan berat badan ideal sememangnya amat disarankan. Namun, tidaklah bermakna kita perlu menjadi kurus sehingga ke tahap ekstrem seperti ini.

Berat badan yang terlalu rendah juga sangat membahayakan kesihatan kita dan boleh membawa maut. Bersederhanalah dalam melakukan sesuatu dan peliharalah diri daripada perkara yang boleh membahayakan diri sendiri.