Penyakit berpunca daripada mata? Inilah yang disebut sebagai penyakit ‘Ain

Kesihatan Md Wa'iz
Md Wa'iz
Penyakit berpunca daripada mata? Inilah yang disebut sebagai penyakit 'Ain
Penyakit berpunca daripada mata? Inilah yang disebut sebagai penyakit Ain © Towfiqu | Dreamstime.com

Mungkin ada yang belum pernah mendengar mengenai penyakit ‘Ain (Ain). Bagi yang tidak pernah mengetahuinya, penyakit Ain bukanlah seperti penyakit fizikal lain yang boleh dilihat.

Ia terjadi secara batin atau tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi apakah sebenarnya penyakit ini?

Maksud penyakit Ain

Penyakit Ain adalah sejenis penyakit yang berlaku disebabkan oleh pandangan mata yang dipenuhi rasa iri hati atau takjub. Ia boleh berpunca daripada pandangan mata orang yang berdengki atau orang yang dicintai. Ia boleh hadir daripada mereka yang jahat mahupun mereka yang baik.

Imam Ibnu Hajar ada menyatakan bahawa, Ain ini adalah satu pandangan hasad daripada tabiat yang buruk. Ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada individu yang dipandang olehnya.

Imam Ibnu Hajar turut menyatakan, penyakit ini juga boleh berlaku hanya disebabkan rasa takjub seseorang tanpa sebarang rasa iri hati atau dengki. Terdapat beberapa hadis sahih yang menceritakan mengenai penyakit ini. Antaranya adalah maksud daripada hadis berikut:

“Daripada Ibnu Abbas r.a Nabi SAW telah bersabda: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.”

(Hadis riwayat Muslim)

Kaedah merawat penyakit ‘Ain

Penyakit Ain adalah satu kemudaratan yang berlaku kesan daripada pandangan mata. Ada dua kaedah yang boleh dillakukan bagi merawat penyakit ini. Kaedah tersebut ialah:

1. Dibacakan ruqyah

Rawatan melalui kaedah ruqyah ini adalah berdasarkan suruhan Rasulullah SAW.

“Daripada Buraidah bin Al-Husyaib r.a, Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat), kecuali untuk penyakit ‘ain, atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2. Dimandikan dengan menggunakan air

Rasulullah SAW juga pernah menyuruh sahabatnya, Amir bin Rabiah untuk memandikan Sahl bin Hunaif yang terkena penyakit Ain. Sahl bin Hunaif jatuh sakit akibat penyakit Ain setelah dipuji oleh Amir bin Rabiah sendiri.

Menurut Ibn Qayyim, kaedah mandian air ini tidak berkesan sekiranya mereka mengingkari, mempersenda, meragukannya atau melakukannya tanpa rasa yakin.

Melindungi diri daripada terkena penyakit ini

Bagi melindungi diri dan ahli keluarga daripada penyakit ‘Ain, perkara yang terbaik adalah melalui kaedah pencegahan. Sebagai contoh, kurangkan membuat hantaran gambar-gambar di media sosial seperti Facebook atau Instagram.

Ini kerana, ia adalah antara cara atau medium yang paling mudah untuk mendedahkan diri kita kepada penyakit ini. Kita tidak tahu jika orang lain yang melihat gambar kita itu berniat baik atau mempunyai rasa iri hati atau dengki.

Bukan itu sahaja, pujian daripada orang lain secara melampau-lampau mengenai gambar kita juga boleh menyebabkan kita mendapat penyakit ini.

Untuk diri kita sendiri pula, jika terlihat sesuatu yang cantik seperti bayi yang comel, ucapkan kata pujian kepada Allah seperti Masya-Allah atau Tabarakallah. Ini untuk mengelakkan individu yang dipuji itu daripada mendapat penyakit ini.