Penyakit Hipoglisemia: keadaan paras gula darah terlalu rendah

Islam 28 Feb 2021 Md Wa'iz
Pilihan
Penyakit Hipoglisemia: keadaan paras gula darah terlalu rendah
Penyakit Hipoglisemia: keadaan paras gula darah terlalu rendah © Dragan Ilić | Dreamstime.com

Kita biasa mendengar mengenai keadaan gula darah tinggi yang berbahaya kepada kesihatan. Namun, tahukah anda, keadaan gula yang terlalu rendah juga boleh memberikan risiko berbahaya kepada kesihatan anda?

Keadaan ini disebut sebagai penyakit Hipoglisemia. Apakah tanda dan kesannya? Hipoglisemia adalah satu keadaan di mana paras gula darah anda berada sangat rendah daripada paras normal atau yang sepatutnya.

Anda perlu tahu, tubuh badan anda memerlukan gula sebagai sumber tenaga. Oleh sebab itu, paras gula yang rendah juga sangat membahayakan tubuh.

Tanda-tanda atau simptom seseorang mengalami penyakit Hipoglisemia

Terdapat beberapa tanda atau simptom yang boleh menunjukkan penyakit Hipoglisemia ini berlaku. Antara tanda-tanda tersebut ialah:

  • Degupan jantung menjadi laju tidak seperti biasa
  • Badan berasa letih
  • Kulit menjadi pucat
  • Menggeletar
  • Menjadi resah atau gelisah
  • Berpeluh-peluh
  • Berasa lapar
  • Rasa kebas atau kesemutan pada bibir, lidah dan pipi

Akan tetapi, sekiranya Hipoglisemia itu dalam keadaan yang teruk, simptom yang ditunjukkan juga akan menjadi lebih parah.

Antara simptom tersebut ialah seperti mengalami kekeliruan, penglihatan yang terganggu seperti kabur, mendapat sawan serta pengsan.

Punca sebenar Hipoglisemia berlaku

Jika seseorang itu mengalami diabetes atau kencing manis, antara punca yang boleh berlaku ialah kesan ubat-ubatan diabetes yang diambil. Pesakit diabetes mengambil ubat atau insulin bagi mengawal paras gula dalam darah.

Namun, apabila paras ubat atau insulin itu terlalu banyak, maka ia akan menyebabkan paras gula darah menjadi terlalu rendah. Kesannya, Hipoglisemia akan berlaku. Jika anda bukan seorang pesakit diabetes, ada beberapa punca yang boleh menyebabkan keadaan Hipoglisemia ini.

Antaranya ialah kesan ubat-ubatan, pengambilan alkohol yang berlebihan, keadaan penyakit yang dialami, penghasilan insulin secara berlebihan oleh tubuh dan kekurangan hormon.

Komplikasi akibat daripada penyakit Hipoglisemia

Sekiranya anda membiarkan keadaan ini berlau tanpa mendapat pemeriksaan dan rawatan, maka ia boleh menimbulkan kesan dan komplikasi lain. Antara komplikasi akibat daripada keadaan ini ialah:

  • Mengalami sawan
  • Pengsan
  • Pening dan badan berasa lemah
  • Kerap terjatuh
  • Mengalami kecederaan
  • Cenderung untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya
  • Kematian

Bagaimana untuk mengelakkan keadaan Hipoglisemia ini?

Mudah sahaja. Bagi memastikan paras gula darah anda sentiasa dalam keadaan normal, jangan sesekali ‘skip’ waktu makan anda. Makanlah walaupun hanya dengan jumlah yang kecil.

Ini bagi memastikan tubuh badan anda tetap mendapat sumber tenaga daripada makanan yang anda makan. Namun, jika anda kerap mengalami tanda-tanda penyakit Hipoglisemia, segeralah untuk berjumpa dengan doktor.

Doktor akan mencari punca sebenar kepada keadaan Hipoglisemia yang berlaku kepada anda.