Penyalahgunaan alam – perspektif Muslim  

Alam semula jadi Hanita Hassan 27-Okt-2020
dreamstime_s_25446913
Penyalahgunaan alam - perspektif Muslim © Wlad74 | Dreamstime.com

Manusia adalah makhluk agung ciptaan Allah SWT. Manusia diletakkan pada tahap teratas berbanding semua makhluk lain. Para malaikat harus sujud di hadapan manusia, sedangkan binatang, tumbuh-tumbuhan dan seluruh alam adalah bagi memenuhi keperluan manusia.

Di samping itu, Allah SWT menghendaki manusia menjalani kehidupan yang bahagia dan tenteram serta memanfaatkan sepenuhnya sumber alam semula jadi yang ada di bumi.

Jangan berbuat kerosakan di muka bumi

Pada masa yang sama, Allah SWT juga melarang keras agar tidak merosakkan sumber semula jadi yang ada. Allah berfirman di dalam al-Quran:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan jangan engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qashash, ayat 77)

Allah SWT menggesa manusia untuk menghargai setiap ciptaan-Nya, bumi dan haiwan serta tumbuh-tumbuhan. Memusnahkan alam sekitar adalah suatu perbuatan yang mengingkari Allah. Ia akan menyebabkan berlakunya bencana sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

“Makanlah dan minumlah rezeki dari Allah dan janganlah kamu membuat bencana di muka bumi.”

(Surah al-Baqarah,ayat 60)

Bahaya penyalahgunaan alam dan akibat dari kemusnahan

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah ar-Rum, ayat 41)

Ayat ini sangat penting untuk difahami tentang bahaya penyalahgunaan alam. Tidak ada yang terlepas daripada pandangan Allah SWT, maka terimalah akibatnya. Kita sering melihat akibat dari kemusnahan ini.

Apabila manusia menjadi alpa terhadap kepentingan memelihara alam sekitar, bertindak lepas tangan ketika sampah kekotoran berbahaya memenuhi bandar dan kampung. Atau ketika pencemaran berlaku, apabila tiada udara segar kerana penebangan pokok. Juga ketika tumpahan minyak mencemari lautan dan membunuh hidupan laut serta mencemari pantai.

Selaku makhluk yang berada pada kedudukan yang teratas, Allah SWT telah memberi penghormatan dan tanggungjawab besar, tugas menjaga makhluk lain di sekeliling kita. Ingkar tanggungjawab ini akan mengakibatkan bencana.

Allah SWT berfirman lagi di dalam al-Quran:

“Dan binatang-binatang yang ada di bumi dan burung yang terbang dengan kedua sayapnya, adalah bangsa-bangsa seperti kamu juga. Tiadalah kami alpakan sedikit pun di dalam Kitab (al-quran); kemudian mereka akan dikumpulkan kepada Tuhannya.”

(Surah al-An ‘Aam, ayat 38)

Melestari dan memperbaiki alam sekitar

Usah gagal memegang amanah Allah SWT ini kerana mengabaikannya dan lalai dengan amanah ini akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Tugas kita terhadap alam sekitar bukan hanya melestarikannya tetapi juga memperbaikinya.

Cendekiawan Islam, Ahmad Ibnu Hanbal r.a menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW mengingatkan agar menjaga alam sekitar. Baginda bersabda kepada para sahabat:

“Jika terjadi hari Kiamat sementara di tangan salah seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”

(Musnad Ahmad, 12491)

Perintah Allah SWT untuk memelihara alam sekitar merupakan penghormatan dan tanggungjawab besar kepada kita. Justeru, marilah bersama-sama kita melaksanakannya sesuai dengan kehendak-Nya.