Penyerahan puncak hati dan minda

Sahsiah Hafiz Firdaus 28-Mei-2020
Mencari cemerlang diri dan iman © Barbara Helgason | Dreamstime.com

Setelah hampir setengah tahun 2020 berlalu di pintu masuk dekad baru, tahun ini nampaknya sangat tidak sama seperti tahun-tahun lepas. Wabak COVID-19 di seluruh dunia telah menampar umat manusia dan ia penuh dengan peristiwa yang mengelirukan dan menyedihkan. Tetapi, sudah pasti juga ia dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik.

Berhubungan dengan itu, sebagai seorang Muslim, peranan kerohanian Islam dalam kesejahteraan emosi dan mental harus diambil peduli dan memainkan peranan penting dalam mengimbangi kehidupan dunia masa kini. Bagaimana pula hubungan agama Islam  dalam mempengaruhi kesihatan mental umatnya?

Pada era moden ini, tradisi Islam kerap membicarakan tentang kepercayaan, dengan menekankan tatacara amalan ritualistik, juga diselit unsur hukum-hakam sambil mengabaikan dimensi rohani dan moral yang mendalam. Perkara keperibadian rohani dan jasmani Islam dan juga kesejahteraan jiwa sebenarnya adalah tajuk-tajuk pokok dalam memperkuatkan diri sebagai seorang Muslim. Malahan, kajian kesihatan mental berkaitan dengan Islam juga adalah bidang penyelidikan penting yang sangat diperlukan dalam senario sosiopolitik semasa dunia. Kesejahteraan adalah asas yang mendasari gagasan kemajuan insan berdasarkan Islam.

Kerana itu, pengukuhan rasa dan kesihatan emosi adalah sesuatu yang sangat penting bagi seorang Muslim. Jika diambil contoh Nabi Muhammad SAW (Selamat Sejahtera Kepada Baginda), sudah pasti tujuan baginda dihantar kepada umatnya adalah untuk membersihkan, memulihkan dan melengkapkan ciri-ciri manusia yang baik. Agama tidak mungkin berfungsi dalam kekosongan etika dan Islam tidak boleh berfungsi di mana rahmat tidak ada di hati penganutnya. Contohnya, jika seseorang itu gemarkan kekejaman dan suka menipu, maka Islam tidak memiliki apa-apa untuk ditawarkan kepadanya.

Oleh yang demikian, mengejar keseimbangan emosi sememangnya adalah satu persoalan yang universal dan berterusan sehingga hari ini.  Bagi sesetengah individu yang cenderung mengalami kekacauan jiwa, terdapat juga salah faham tentang perkara ini. Sebagai pedoman, hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Huraira menegaskan bahawa ‘Tiada penyakit yang telah diciptakan Allah, kecuali bahawa Dia juga telah mencipta rawatannya’ (Sahih Al-Bukhari, buku 71, Hadis 582). Masalah kesihatan mental di kalangan masyarakat Islam sebaiknya ditangani dari perspektif masyarakat yang bijak meneroka tentang hubungan antara kepercayaan agama yang turut merangkumi pelbagai sisi kehidupan dan pengetahuan mengenai ilmu kesihatan.

Maka, penyembuhan diri dan iman yang terpuji seseorang merupakan sumber kebahagiaan yang membawa kepada pemurnian masyarakat di sekelilingnya. Oleh kerana hati kita tidak lekang dengan kesedihan dan kesusahan, kita boleh berusaha menghilangkan perasaan ini dengan cara pencahayaan Al-Quran. Maksudnya, petunjuk Tuhan ini adalah panduan istimewa yang bukan sahaja harus difahami maknanya tetapi lebih penting ialah memikir, mempertimbang dan melaksanakan (tadabbur) risalah dan amanatnya.

Sebagai pencerahan, renungkan surah ke 47 iaitu surah Muhammad, ayat ke 24 yang bermaksud:  ‘(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?’ Dengan bertadabbur, maka meriahlah minda yang sekaligus melibatkan gerak hati yang membolehkan kita berjuang untuk keunggulan dan kecemerlangan diri sendiri.

Etika Islam turut melihat kesukaran dan kesulitan sebagai peluang untuk mewujudkan kebergantungan mutlak kepada Allah SWT, Maha Suci dan Maha Mulia. Ini bererti penyerahan diri kepadaNya, mempelajari kebenaran, dan membina kebaikan. Secara tidak langsung, kehidupan duniawi manusia boleh difahami sebagai memenuhi fungsi Ilahi.

Tidak kira sama ada seseorang itu mengamalkan ajaran agama atau tidak, tunduk atau menyerahkan diri kepada kehendak Tuhan sepatutnya berlaku secara semulajadi dalam diri. Inilah interaksi yang dikategorikan sebagai ibadah antara manusia dan Tuhan. Sudah semestinya, terdapat juga hubungan yang saling mempengaruhi antara manusia dengan manusia.

Ini bermakna, dalam kehidupan seharian, umat Islam harus berusaha untuk mencapai kecemerlangan di bawah panji kehendak-Nya. Kesan langsung yang juga akan tumbuh secara semulajadi dari dalam diri kita adalah akal yang dibangkitkan dan semangat yang dibebaskan akan membentuk pekerti dan akhlak yang hebat.

Kesemua ini akan menghidupkan peranan kerohanian Islam dan menyuburkan kesejahteraan emosi seorang Muslim. Inilah nilai sejagat kemanusiaan yang dilihat cantik dari luar dunia Islam, dan kita harus terus pancarkan sinar Islam ini dengan penyerahan puncak hati dan minda yang penuh takwa dan keyakinan.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!