Peperiksaan dibatal dan ditunda, persekolahan 2021 akan dikawal baik

Kehidupan Hafiz Firdaus 16-Apr-2020
Peperiksaan ditunda dan dibatal © Liphin Ho | Dreamstime.com

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui menterinya, Dr. Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan, hanya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) telah dibatalkan pada tahun ini. Sementara itu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula telah ditangguhkan.

Lanjutan daripada perkembangan semasa dalam negara berikutan wabak COVID-19, Mohd Radzi yang ditemui dalam sidang media di bangunan Perdana Putra menyatakan, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Beliau memaklumkan bahawa tarikh peperiksaan SPM dan SVM akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021. Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama 2021, manakala bagi STPM, tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada bulan Ogos 2020, dan Semester 3 dalam suku pertama tahun 2021.

Semua penundaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi. Oleh itu, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menangguhkan tarikh kemasukan baru ke institusi pengajian tinggi (IPT), iaitu bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021, dan program ijazah pada September atau Oktober 2021.

KPM turut faham dan prihatin terhadap kebimbangan bahawa akan terjadi pertindihan antara pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima apabila penggal peperiksaan ditunda. Mohd Radzi menjelaskan bahawa telah tersedia beberapa pilihan atau kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan tidak berlaku kesesakan kemasukan berganda bagi pelajar-pelajar kelas peperiksaan awam pada tahun hadapan.

Para Ibu bapa dan pelajar tidak perlu risau tentang perkara kesesakan kemasukan berganda bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan-peperiksaan yang ditunda ke tahun 2021. KPM akan memastikan pengurusan dan kaedah yang paling baik akan dipertimbang dan dilaksanakan. Perkara-perkara ini sedang dalam proses perincian bagi menghasilkan satu kerangka yang jelas dan akan diumumkan kelak.