Peranan akidah dalam kehidupan

Sahsiah Abi Aasim 09-Jul-2020
Peranan akidah dalam kehidupan © Bari Paramarta | Dreamstime.com

Akidah bererti ‘kepercayaan’, ‘keyakinan’ atau ‘keimanan’ yang mantap dan tidak mudah terurai oleh pengaruh mana pun sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang. Akidah Islamiah menjelaskan konsep Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah SWT, Malaikat, Kitab-kitab-Nya, Nabi dan Rasul, Hari Kiamat dan Qada dan Qadar.

Akidah memainkan peranan yang penting  di dalam mencapai kesejahteraan di dalam kehidupan. Antara peranan akidah ialah:

  • Menjadi pegangan hidup setiap individu
  • Membentuk individu dengan akhlak dan peribadi yang mulia
  • Menjadi benteng pelindung dari melakukan perbuatan yang tidak diredai oleh Allah SWT
  • Menghindarkan diri dari kesesatan
  • Mendapat rahmat, perlindungan dan kasih sayang dari Allah SWT

Zaman yang penuh mencabar ini datang dengan pelbagai perkara yang boleh merosakkan akidah. Pergaulan bebas lelaki dan wanita, hiburan yang melampau dan tidak menepati hukum syarak serta banyak lagi bentuk pemikiran yang dapat merosakkan akidah umat Islam. Jika tidak dibendung segera, maka hancurlah akidah umat Islam terutamanya generasi muda pembangun bangsa dan negara.

Anatara perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah ialah:

  • Menyembah selain Allah SWT
  • Melakukan sesuatu yang menyekutukan Allah SWT sama ada dari segi percakapan, perbuatan atau melalui kepercayaan
  • Melakukan ibadah atau amalan bukan kerana Allah SWT
  • Mempersoalkan kewujudan dan kuasa Allah SWT
  • Mempersoalkan kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW serta rasul-rasul yang lain
  • Mempersendakan hukum Allah SWT seperti menafikan dan mengabaikan kewajipan solat, puasa dan berzakat

Firman Allah SWT dalam surah Al-An’am, ayat 82: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.” Melalui ayat ini, Allah SWT menegaskan tentang kepentingan menjaga akidah.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya’, ayat 94: “Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.”

Akidah yang berfungsi akan menerangi seluruh jiwa seseorang dengan iman. Iman pula adalah seperti mutiara. Bersinar, berkilau dan sungguh berharga sehingga seseorang begitu mencintai dan mempertahankan imannya. Iman memimpin seseorang ke arah kemuliaan dan ketinggian. Iman mencegah seseorang daripada terikat dengan penjara keduniaan yang merugikan.

Akidah melahirkan manusia yang berfikiran terbuka, berpandangan jauh dan positif dalam kehidupan. Kepercayaan muslim tentang wujudnya Tuhan dan alam lain yang bakal ditempuhinya kelak selepas meninggalkan dunia ini akan menjadikannya sebagai manusia yang berpandangan jauh. Peliharalah akidah dan iman kita sebagai seorang Muslim yang sejati.