Peranan bapa dalam institusi kekeluargaan

Keluarga Hannan
Terkini oleh Hannan
Peranan bapa dalam institusi kekeluargaan
Peranan bapa dalam institusi kekeluargaan © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Bapa merupakan insan yang amat penting di dalam hidup seorang anak. Salah satu peranan bapa ialah tugasnya untuk mencari nafkah buat seisi keluarga.

Tanggungjawab yang tergalas di atas bahu insan yang kita gelar ayah ini juga amatlah besar dan berat.

Peranan bapa dalam institusi kekeluargaan

Bukan itu sahaja, bapa juga bertanggungjawab mendidik anak mengenai selok belok kehidupan dan juga mengajar anak mengenai hal ehwal agama.

Oleh sebab itu, kita perlulah hormat dan berlaku baik pada kedua-dua ibu dan bapa ketika mereka masih hidup di dunia. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah kamu menengking (menyergah) mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’, ayat 23)

Peranan sebenar seorang bapa

Tidak dapat dinafikan, cerita-cerita mengenai keibubapaan selalu mengetengahkan hubungan anak dengan ibu berbanding anak dengan bapa. Hingga hari ini, stereotaip seperti garang, tidak sensitif dan sebagainya masih kuat dikaitkan dengan figura yang digelar ayah ini.

Semua orang boleh menjadi ayah kepada seorang anak, tetapi menjadi seorang bapa yang sejati merupakan sesuatu yang amat sukar. Peranan seorang bapa di dalam hidup anak mempunyai impak yang amat besar dan dapat membentuk sahsiah anak ketika mereka menginjak dewasa.

Malah, kajian yang dijalankan oleh Pennsylvania State University mendapati bahawa kanak-kanak yang lebih rapat dengan bapa mereka selalunya akan lebih berjaya dalam hidup.

Dapatan kajian ini sudah cukup untuk membuktikan betapa pentingnya kehadian seorang ayah dalam hidup anak-anak. Anak perempuan mungkin bergantung kepada bapa masing-masing untuk tujuan sokongan fizikal dan emosional.

Selain itu, anak lelaki pula akan cenderung mengikut gerak-geri bapanya. Mereka juga berkemungkinan membesar dengan karakter yang sama.

Nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya

Sebagai bapa, kita haruslah menjadi Luqman Al-Hakim kepada anak-anak kita. Salah satu peranan bapa yang penting ialah menerapkan nilai-nilai Islam kepada anak-anak.

Pernahkah anda dengar mengenai Luqman Al-Hakim? Luqman Al-Hakim merupakan seorang hamba yang soleh dan amat kuat beribadat.

Di dalam Al-Quran, terdapat surah khas yang menerangkan mengenai nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya. Semua nasihat ini diabadikan di dalam surah Luqman, ayat 13-19.

Nasihat beliau yang pertama kepada anaknya ialah jangan sesekali mensyirikkan Allah SWT. Yang kedua, berbuat baiklah kepada ibu bapa. Bersyukurlah kepada Allah SWT dan juga pada kedua ibubapa masing-masing.

Perkara yang ketiga, dirikanlah solat dan suruhlah manusia melakukan perkara-perkara yang baik. Elakkan melakukan perbuatan yang mungkar. Akhir sekali, janganlah berjalan di muka bumi ini dalam keadaan yang sombong dan bongkak.

Masih ingat lagikah anda dengan ungkapan kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa? Seorang bapa mempunyai peranan yang amat besar dalam kehidupan kita. Beliau jugalah yang memastikan cukup segala makan dan pakai kita sekeluarga.

Oleh sebab itu, marilah kita mengucapkan terima kasih kepada bapa kita yang berada di rumah dan juga semua bapa yang sedang membaca artikel ini. Moga sentiasa diberi rahmat oleh Allah SWT.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.