Peranan dan tanggungjawab seorang khalifah

dreamstime_xs_164980421
Peranan dan tanggungjawab seorang khalifah © Elmirex2009 | Dreamstime.com

Islam merupakan agama yang sangat teratur dan sistematik. Sebuah negara Islam yang ideal, keseluruhan pemimpin politik dan agamanya adalah khalifah dan ini menjelaskan kenapa begitu banyak khalifah dalam sejarah Islam.

Namun, setelah pembubaran Empayar Uthmanniyyah, umat Islam masih tidak mempunyai khalifah yang bertaraf dunia. Malah, ramai dalam kalangan umat Islam yang masih kurang faham akan peranan dan tanggungjawab seorang khalifah. Justeru, artikel ini akan memberi  penerangan yang lebih mendalam mengenai topik penting ini.

Perkataan khalifah berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘Khalifah’ yang bermaksud pengganti. Pengganti dalam konteks ini merujuk kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Peranan utama khalifah adalah menyebarkan Islam dan  memastikan bahawa apa yang ditetapkan oleh Islam akan sentiasa dipulihara.

Dengan kata lain, khalifah adalah penjaga utama umat Islam di muka bumi ini. Berbeza dengan Barat di mana terdapat pemisahan di antara institusi agama dan pemerintahan negara, tugas  khalifah merangkumi semua iaitu sebagai pemimpin agama,  ketenteraan serta politik. Kesimpulannya, khalifah adalah pemimpin  tertinggi dalam sesebuah negara Islam.

Seperti yang telah diterangkan, peranan utama khalifah adalah untuk melindungi, mempertahan dan menegakkan Islam serta memastikan  kebenarannya bukan sahaja sewaktu ditubuhkan malah dipulihara agar umat Islam dapat menikmati kehidupan sambil mempraktikkan Islam dengan sebaik-baiknya sebagai persiapan  di Akhirat nanti.

Tanggungjawab seorang khalifah merangkumi semua aspek. Dalam Islam, apabila ia melibatkan kuasa, keseimbangan tugas perlu agar khalifah tidak berakhir sebagai  pemerintah yang zalim dan diktator. Selagi seorang khalifah memenuhi semua tanggungjawab seperti yang telah digariskan oleh Islam, maka kita perlu mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan serta menghormati kewibawaan khalifah.

Namun, sebaliknya jika khalifah tersebut menjadi tidak efektif, bertindak kejam, tidak adil atau mula menentang peraturan Islam, maka khalifah tersebut boleh dipecat dari jawatannya oleh Majlis al-Shura yang juga dikenali sebagai Majlis Perundingan.

Adalah menjadi tanggungjawab  seorang khalifah untuk memastikan bahawa setiap rakyat di wilayah jagaannya dilindungi daripada segala bentuk pencerobohan dalaman mahupun luaran. Sebagai ketua tentera dan panglima besar angkatan bersenjata secara keseluruhan, khalifah hendaklah sentiasa bersedia  mempertahan ummah serta memimpin latihan ketenteraan sekiranya  perlu.

Tanggungjawab memastikan kestabilan ekonomi demi kepentingan semua pihak termasuk di bawah tugas khalifah. Seorang khalifah tidak boleh melaksana dasar yang menyebabkan kemiskinan serta penderitaan atau menolak daripada menunaikan zakat.

Khalifah merupakan penjaga sumber-sumber ummah dan adalah menjadi tugas mereka bagi memastikan penggunaan sumber dilakukan secara bertanggungjawab dan adil. Khalifah perlu menghindarkan diri daripada terjebak dengan perbuatan jahat seperti rasuah, nepotisme mahupun penipuan.

Sebagai pemimpin umat Islam, seorang khalifah harus mematuhi semua peraturan dan melaksana tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Islam. Apabila sesuatu perkara menjadi sangat mencabar, dia hendaklah meminta bantuan serta bimbingan daripada para ulama dan yang paling penting meletakkan pengharapan kepada Allah SWT bagi mendapatkan bantuan-Nya. Semoga Allah sentiasa mempermudah urusan hamba-hamba-Nya, Aamin.