Peranan institusi Baitulmal dalam Islam

Agama Abi Aasim 29-Jun-2020
Baitulmal merangkumi pengukuhan ekonomi © Szefei | Dreamstime.com

Institusi Baitulmal telah wujud sejak pemerintahan Islam di zaman Rasulullah dan Saidina Abu Bakar r.a. Walaupun begitu, institusi Baitulmal masih lagi belum wujud secara rasmi. Pada masa itu institusi Baitulmal berfungsi sebagai institusi kewangan Islam yang memperolehi sumber pendapatan melalui zakat dan juga harta rampasan perang.

Secara ringkas, Baitulmal merupakan satu bentuk institusi kewangan dan pengurusan harta dalam Islam. Baitulmal dalam Islam mempunyai konsep penggunaan harta yang amat luas dan berteraskan asas utama yang merangkumi tiga unsur penting iaitu:

  • Konsep harta – ekonomi
  • Konsep amanah – pentadbiran
  • Konsep keadilan sosial – penggunaan

Di Malaysia, Baitulmal ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bidang kuasa agama di bawah kuasa negeri. Baitulmal negeri beroperasi mengikut Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri di bawah pengurusan MAIN.

Baitulmal mengendalikan harta orang Islam yang meliputi zakat, wakaf dan harta sumber am lain seperti kutipan khairat, harta pusaka tidak berwaris, baki faraid dan lain-lainnya mengikut hukum syarak serta undang-undang yang berkaitan.

Pada masa kini, fungsi Baitulmal sebagai institusi kewangan telah diambil alih sepenuhnya oleh Perbendaharaan Negara dan Kementerian Kewangan. Kewujudan Perbendaharaan Malaysia dan Baitulmal negeri seharusnya saling melengkapi antara satu sama lain. Ia seharusnya dijadikan sumber kekuatan bagi umat Islam di negara ini meningkatkan kedudukan sosio ekonomi.

Baitulmal bukan sekadar berperanan untuk  pembangunan yang ada kaitan dengan ibadat khusus seperti menyediakan tempat untuk mengerjakan solat dan untuk menjaga kebajikan orang memerlukan. Fungsi Baitulmal turut merangkumi segala kegiatan pembangunan negara sama ada untuk pembangunan ekonomi, infrastruktur, pendidikan, pertahanan, perkhidmatan awam dan kebudayaan. Dengan adanya Baitulmal, pengagihan dan pengurusan harta akan menjadi lebih adil dan saksama.

Institusi Baitulmal melambangkan bahawa negara Islam adalah sebuah negara yang berkebajikan. Institusi Baitulmal adalah sebuah intitusi yang sentiasa menjaga kepentingan dan kebajikan umat Islam dan prihatin terhadap setiap keperluan mereka.

Semoga konsep Baitulmal negara Islam pada zaman ini dan Malaysia khususnya dapat mengikuti amalan sistem ekonomi Islam yang ditetapkan oleh syarak.