Peranan isteri di bulan Ramadan

Kehidupan Hanita Hassan 08-Mei-2020
Peranan isteri ketika Ramadan © Odua | Dreamstime.com

Tugas wanita sebagai pengurus rumah tangga tidak menyusut pun di bulan Ramadan.  Walaupun hakikatnya tiada aktiviti masak-memasak berlaku di waktu pagi, namun kesibukan isteri adalah lebih berbanding hari-hari biasa.

Pada dinihari, isteri akan bangun menyediakan juadah bersahur. Sebelum membangunkan semua ahli keluarga, isteri akan ke dapur, memanaskan makanan lebihan berbuka atau menyediakan makanan baharu sambil menyusun dan mengemas ruang makan.

Setelah makanan tersedia di atas meja, baharulah dikejutkan satu persatu ahli keluarga untuk bersahur.  Bayangkan seawal dinihari isteri sudah bersengkang mata di dapur dengan penuh kesabaran demi memastikan seluruh ahli keluarga dapat bersahur.

Begitu juga pada waktu petang sebelum berbuka, sekali lagi isteri akan kembali sibuk menyediakan juadah berbuka puasa pula.  Sekiranya mempunyai anak yang masih kecil, isteri perlu menyediakan keperluan makan minum mereka di waktu semua berpuasa.

Begitu pentingnya peranan wanita dalam kehidupan sehingga Rasulullah SAW menegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik kepada perempuan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kita sering mendengar pepatah bahawa: “Di sebalik kejayaan seorang lelaki, di sisinya ialah seorang wanita.”  Begitu juga di sebalik kejayaan sesebuah rumah tangga, wanita atau isteri memainkan peranan yang cukup besar selain peranan lelaki sebagai bapa atau ayah.

Wanita adalah ciptaan Allah SWT yang sangat istimewa. Ia dicipta daripada tulang rusuk lelaki untuk saling lengkap melengkapi, sebagai teman hidup yang paling rapat untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai.

Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dia (Allah) menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa).” (Al-Zumar : 6)

Sikap isteri yang selalu mendahulukan keluarga berbanding kehendak dan kepentingan diri perlu dihargai walaupun tidak pernah meminta balasan. Inilah masanya untuk meringankan tugas isteri yang sejak berkahwin tidak pernah bercuti menjaga urusan rumah tangga.

Ramadan adalah bulan kurniaan Allah SWT.  Pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya, pintu neraka ditutup dan para syaitan terbelenggu.  Inilah bulan di mana ganjaran ibadah dan amal soleh dilipatgandakan.

Ramadan adalah peluang bagi kaum lelaki atau para suami memperbanyak amalan kebaikan dengan membantu insan yang paling rapat dengan anda, iaitu isteri.  Tugas mengurus rumah sewaktu Ramadan lebih berat.  Selain memasak, isteri juga perlu mengatur jadual solat, mengaji, tadarus dan menyedia keperluan hari raya.

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74)

Semoga Ramadan menyediakan jiwa anda dengan penuh keimanan mengharungi manisnya perjalanan sebuah rumah tangga yang sakinah mawaddah warahmah,  hari ini dan di masa hadapan.