Perang menghapuskan COVID-19 mungkin sehingga 2021

Kehidupan Syed Safri 20-Apr-2020
Perang COVID-19 sehingga 2021 © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan, sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, usaha-usaha dalam menghapuskan COVID-19 mungkin akan terus bersambung ke tahun 2021.

Bercakap di Putrajaya, beliau menyatakan yang lanjutan tempoh ini adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sementara itu, catatan harian kes baharu COVID-19 juga telah menunjukkan angka yang memberangsangkan di mana Malaysia mencatat kes baharu terendah iaitu 36 kes, dan tiada kematian.

Kementerian Kesihatan seterusnya sedang merancang strategi untuk maju ke hadapan, dan merangka strategi keluar terbaik untuk masyarakat keseluruhan apabila PKP tamat nanti. Pengurangan kes telah berjaya dilakukan, dan perkara seterusnya ialah untuk menamatkan kes. Di harap tidak akan terjadi tambahan kluster, kes terpencil atau kes sporadik.

Selain cadangan usaha melaksanakan antibodi , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga membuat pemantauan terhadap kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan gejala penyakit seperti Influenza (ILI) dalam kalangan masyarakat. Pengurangan kes memberikan gambaran yang baik dan menandakan rancangan untuk tindakan masa depan boleh dilaksanakan.

Tambah Dr. Noor Hisham, selagi vaksin anti-COVID-19 masih belum ditemui, selagi itu KKM tidak akan bersikap sambil lewa. KKM mengesyorkan agar masyarakat terus menerapkan norma-norma baru seperti keluar dari rumah apabila benar-benar diperlukan, mengelak diri dari menyertai sebarang perjumpaan, melakukan penjarakan sosial dan selalu mencuci tangan dan amalan kebersihan yang lain.