Perbaiki diri setiap hari sebagai asas kekuatan umat Islam

Falsafah Siti Suriani Othman
Pilihan oleh Siti Suriani Othman
Perbaiki diri setiap hari sebagai asas kekuatan umat Islam
Perbaiki diri setiap hari sebagai asas kekuatan umat Islam © Airdone | Dreamstime.com

Perbaiki diri setiap hari sebagai asas kekuatan umat Islam – artikel ini akan membincangkan kepentingan bagi umat Islam agar dapat memperbaiki diri setiap hari.

Inilah kekuatan utama umat Muslim untuk kekal relevan dan menjadi contoh bagi penganut agama lain.

Hari ini lebih baik daripada semalam sebagai kekuatan diri

Islam adalah agama yang menitikberatkan kemajuan dan pembangunan diri umatnya. Tidak hairan, umat Islam sentiasa digalakkan untuk memperbaiki diri setiap hari dan mengambil segala kesempatan yang ada untuk membangunkan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya.

Kita diingatkan dalam hadis:

“Barangsiapa yang dua harinya (hari ini dan kemarin) sama maka ia telah merugi, barangsiapa yang harinya lebih jelek dari hari sebelumnya, maka ia tergolong orang-orang yang terlaknat.”

(Hadis riwayat al-Baihaqi, dalam kitab Az-Zuhd)

Memperbaiki diri setiap hari adalah kekuatan umat Islam kerana konsep ini membawa kekuatan kepada mereka untuk kekal relevan di dunia dan akhirat kelak. Ini juga adalah satu bentuk persiapan dan peringatan kepada kita semua, agar sentiasa mempersiap diri untuk bekalan di akhirat yang pastinya memerlukan kekuatan dan iltizam serta usaha di dunia yang penuh pancaroba ini.

Imam at-Tirmidzi meriwayatkan hadis yang bermaksud:

“Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, ayat 2459)

Jadilah insan yang positif untuk kekal ‘kuat’ di dunia dan Akhirat

Kita tahu bahawa tidak mudah untuk mengekang maksiat dan mengelak hati daripada menjadi kotor. Maksudnya, tidak mudah untuk kita memastikan hari esok itu lebih baik daripada semalam.

Disebutkan dalam al-Quran, surah Al-Insyirah, ayat 5 hingga 7 yang bermaksud:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. (Dan) bahawa sesungguhnya setiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), maka bersungguh-sungguhlah berusaha (mengerjakan urusan yang lain).”

Pastinya tiada yang mudah untuk mendapat sesuatu kejayaan yang baik. Kita diingatkan perlunya ada keyakinan terhadap sesuatu yang diusahakan. Juga kita diingatkan untuk percaya bahawa setiap kesulitan akan diberikan kemudahan.

Teruslah berusaha dan berusaha untuk mencapai sesuatu yang diingini dengan cara yang halal untuk mendapat berkat-Nya. Ini perlu dilakukan dengan bersunguh-sungguh serta tawakal yang tinggi kepada Allah SWT.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW melalui riwayat Muslim yang bermaksud:

“Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan daripada Allah (dalam segala urusanmu) dan janganlah sekali-kali engkau berasa lemah. Apabila engkau ditimpa musibah, janganlah engkau berkata: ‘Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini dan begitu.’ Tetapi katakanlah: ‘Ini telah ditakdirkan Allah, dan Allah berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki.’ Kerana ucapan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan Syaitan.”

Kita mesti kekal relevan

Maka untuk umat Islam kekal relevan dan memainkan peranan besar dalam masyarakat dan negara, kita harus siap siaga, rajin dan tawakal serta memastikan pembangunan diri yang konsisten dengan pencapaian yang baik serta membangunkan orang lain.

Pastinya konsep ‘Hari ini lebih baik daripada semalam’ menjadi pegangan dan kekuatan kita semua. Ideanya adalah agar kita sentiasa bersedia mempersiap diri untuk menempuhi hidup di dunia dan di akhirat kelak.

Kita harus menjadi contoh kepada penganut agama lain agar kebaikan tersebar melalui perbuatan. Semoga kita tidak perlu banyak berkata-kata dari bibir yang kadang kala boleh menjadi nista.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.