Perbanyakkan rasa kasih kepada ibu bapa

Hormati ibu dan bapa © Narongrit Sritana | Dreamstime.com

Kecantikan Islam mengajar manusia tentang peri pentingnya menjaga kedua ibu bapa kita, terutamanya ketika mereka semakin tua. Muslim yang sebenar tidak seharusnya menumpukan perhatian hanya pada kehidupan sendiri dan mengabaikan ibu bapa. Malahan, kita sepatutnya terus menerus mengasihi mereka. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Israa 17, ayat 23:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Dalam keadaan yang sedikit berbeza, Islam terus tegar dalam mengutamakan penganutnya menghormati ibu bapa, walaupun berlainan kepercayaan dan agama. Jika ini adalah realiti bagi seseorang (biasanya yang baru masuk Islam atau Mualaf), ini tidak bermaksud seseorang itu dibenarkan untuk tidak menghormati mereka.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Lukman 31, ayat 15)

Perbanyakkan sifat belas kasihan dan lakukan perkara-perkara kebaikan kepada ibu bapa kita. Allah (SWT) berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah 2, ayat 233: “Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya.”

Kesabaran yang ikhlas dan tinggi adalah amat disarankan apabila berhadapan atau ketika melayan ibu bapa kita. Semakin mereka berumur atau tua, semakin mereka memerlukan pertolongan kita. Ketahuilah bahawa kebaikan dan menghormati orang tua sangat mendapat tempat di sisi Allah SWT.

Bagi kita semua, terutamanya anak manja emak atau ibu, jangan dilupakan keperitan dan kesukaran yang dialami oleh seorang wanita hamil. Perjuangan seorang ibu berjaga sepanjang malam tanpa tidur dan mengalami segala perih payah kehamilan – untuk kita anak-anaknya. Ingat tentang ini untuk mendorong kita terus menunjukkan kesopanan dan kasih sayang kepada ibu bapa kita. Firman Allah SWT dalam Al-Quran, surah Luqman 31 ayat 14:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Berdoalah dengan tulus ikhlas kepada Allah SWT dan mohon agar kedua ibu bapa kita sentiasa dilindungi dan bebas dari segala macam tekanan. Semoga Allah berkati mereka dengan kebahagiaan dan kegembiraan, dan seterusnya menghadiahkan mereka Syurga-Nya.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Israa (17), ayat 24: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”