Perbezaan antara Samak dan Sertu

Agama Chan Abdullah 10-Jun-2020
Beza menyamak dan menyertu © Oleksandr Korzh | Dreamstime.com

Kebersihan adalah suatu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Allah SWT telah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk bersuci dan menjaga kebersihan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah, ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Antara kaedah untuk membersihkan sesuatu adalah dengan kaedah samak atau sertu. Kedua-dua perkataan ini perlu difahami sebaiknya melalui pengertian dari segi bahasa dan juga segi istilah.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sertu ialah perbuatan menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis Mughallazah (anjing dan khinzir) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali (nisbah 1:6).

Samak pula dari segi bahasa mempunyai beberapa makna. Antaranya ialah bahan zat yang digunakan untuk memasak serta mewarnai kulit binatang. Makna yang kedua ialah membersihkan najis mughallazah dengan air tanah sekali dan air mutlak enam kali. Maksud yang ketiga pula ialah sejenis tumbuhan yang digunakan untuk menyamak kulit.

Oleh kerana pengertian samak dan sertu ini adalah sangat hampir dari segi bahasa, sering terjadi kekeliruan terhadap samak dan sertu.

Daripada segi istilah, Samak diambil daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud ‘kaedah menyucikan kulit haiwan yang boleh dimakan atau tidak.’ Proses ini dijalankan dengan menghilangkan darah, sisa daging dan apa-apa yang melekat pada kulit haiwan yang hendak dibersihkan. Namun proses ini tidak tertakluk kepada haiwan seperti anjing dan khinzir.

Bersertu dari segi istilah pula membawa maksud cara bersuci daripada najis mughalazah iaitu anjing atau khinzir yang memerlukan bahagian yang terkena najis dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Salah satu padanya air bercampur tanah, dan enam bahagian lagi adalah air mutlak. Sertu perlu dilakukan sama ada najis tersebut najis Aini atau najis Hukmi. Proses ini boleh digunakan sama ada pada pakaian, badan mahupun tempat yang terkena najis mughalazah.

Rasullulah SAW bersabda: “Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita sebagai seorang Muslim di dalam hal-hal agama. Marilah kita membiasakan diri untuk membuat perkara yang betul dan memperbetulkan perkara yang biasa kita lakukan.