Perbezaan gelaran darjah kebesaran di Malaysia

Budaya Abi Aasim 09-Jun-2020
Perdana Putra, Pejabat Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin © Julian Peters | Dreamstime.com

Pasti sesetengah daripada kita ada yang masih keliru dengan perbezaan gelaran darjah-darjah kebesaran di Malaysia. Dari segi ejaan misalnya, ini merupakan satu masalah di mana ejaan yang betul kadang-kadang sukar diingati. Artikel ini akan berkongsi sedikit ilmu tentang perbezaan di antara darjah kebesaran yang terdapat di Malaysia.

Dato’ – Dato’ merupakan anugerah kebesaran yang dikurniakan oleh negeri yang mempunyai sultan seperti Perlis, Perak, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor. Gelaran Dato’ juga digunakan untuk Negeri Sembilan yang diperintah oleh Yang di-Pertuan Besar.

Datuk – Datuk merupakan anugerah kebesaran yang dikurniakan oleh negeri-negeri yang tidak mempunyai sultan seperti Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Tun – Gelaran Tun merupakan darjah kebesaran tertinggi dalam Malaysia yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Gelaran Tun ini biasanya diberikan kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang di Pertua Negeri dan juga ketua Hakim. Isteri kepada Tun akan digelar sebagai Toh Puan.

Tan Sri – Gelaran Tan Sri juga dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Gelaran ini adalah gelaran yang kedua tertinggi. Isteri kepada pemegang gelaran ini akan bergelar Puan Sri.

Bagi sesetengah negeri seperti Selangor dan Johor, gelaran Dato’ hanya diberikan kepada lelaki sahaja. Bagi penerima kaum wanita, darjah kebesaran Datin Paduka akan diberikan.

Bagi isteri penerima gelaran Dato’ dan Datuk, mereka akan digelar Datin kecuali di negeri Terengganu. Di Terengganu isteri bagi pemegang gelaran Dato’ digelar To’ Puan (berbeza dengan Toh Puan).

Lebih unik di negeri Johor, gelaran rasmi untuk isteri yang mempunyai suami bergelar Dato’ adalah Datin Dato’ (nama suaminya) dan bukan menggunakan nama sendiri.

Lain pula di negeri Sarawak, mereka mempunyai tujuh Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang berbeza, iaitu: Pehin Sri, Datuk Patinggi, Datuk Amar, Dato Sri, Datuk, Dato dan Datu.

Gelaran Datu di Sarawak adalah gelaran kehormat dan berbeza dengan penggunaan nama Datu yang diwarisi secara turun-temurun oleh beberapa keluarga di Sabah.

Itulah serba sedikit perkongsian kali ini. Diharap tidak ada yang keliru lagi dengan darjah kebesaran di Malaysia, sebagai tanda hormat ikhlas kita kepada mereka yang bergelar sedemikian.