Pereka Fesyen Ezuwan Ismail Lancar Lagu Raya Berjudul Rindu Lebaran

Pereka fesyen yang kini bergelar penyanyi kumpulan trio E1 , Ezuwan Ismail  mencipta sejarah baru dalam diari hidupnya.

Tanggal 14 April lalu, bukan hanya setakat mempersembah koleksi raya untuk pentas fesyen Gaya Koleksi Raya 2019 anjuran Andrewsmodel Malaysia, tetapi turut melancarkan single kedua bersempena Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Istimewanya koleksi dan single raya itu dinamakan sebagai ‘Rindu Lebaran.’

Sesuatu yang manis untuk saya kenang bagi bidang fesyen serta nyanyian yang baru disertai. Saya anggap ia sejarah peribadi buat diri.

“Saya dapat ilham menamakan koleksi raya kali ini dengan nama Rindu Lebaran selepas merakamkan lagu dengan komposer S Atan,” ujarnya.

Sekalipun berdepan kecaman dan kontroversi termasuk dipertikaikan mutu vokal ketika melancarkan single pertama, ‘Semalam Sahaja’ pada 14 Februari lalu, ia tidak menghalang penyanyi utama anggota kumpulan trio E1 ini meneruskan minat nyanyiannya.

Malah langkah kumpulan trio berkenaan yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran bagai dirahmati saat berpeluang menggunakan khidmat komposer otai bernama penuh Hashim Said itu. Lirik pula nukilan Siso Kopratasa. Proses rakaman dilakukan pada 5 Mac lalu di sebuah studio di Cheras.

Sejak awal lagi saya memang mendambakan lagu raya ciptaan S. Atan. Kalau dulu lagu raya ciptaannya untuk Allahyarham Sudirman, kumpulan Black Dog Bone dan Datuk Jamal Abdillah antara yang terus menjadi malar segar hingga sekarang. Saya dan anggota E1 yang lain memang bangga kerana dapat menyanyikan lagu raya sentuhan emas daripada beliau.

“Tak sangka impian kami itu kini jadi kenyataan. Kami ambil masa rakamkan lagu raya itu dalam tempoh kurang dua jam. Saya sendiri berdepan situasi ‘genting’ semasa hari rakaman apabila dimarahi abang S Atan kerana dia memang diketahui cukup tegas semasa bekerja. Saya tak ambil hati dan anggap semua itu sebagai proses untuk saya belajar dan memperbaiki kelemahan diri.

“Cuak juga sebenarnya. Tapi semasa pertemuan awal lagi dengannya, beliau memang beritahu beliau akan tegas demi kebaikan. Jadi memang saya sudah diberi amaran awal. Saya sendiri yang banyak menerima teguran daripadanya semasa proses rakaman kerana biasalah mutu vokal ini tidak sehebat Zulyasrani dan Ariff,” katanya.

Ezuwan yang turut dikenali sebagai ‘Tukang Jahit Termahir Malaysia’ juga meletakkan harapan menggunung semoga lagu raya itu akan mendapat perhatian peminat muzik tempatan.

Pastinya saya harap lagu ini akan jadi malar segar seperti mana lagu raya lain. Biar lagu ini kalau setiap musim nak raya, akan jadi pilihan untuk diputarkan di stesen radio dan dimainkan di kaca TV. Sebagai penyanyi generasi baru, peluang merakamkan lagu komposer otai ini satu penghormatan yang akan dikenang sampai bila-bila. Malah sentuhan emas komposer lama seperti S Atan ini masih kekal berbisa.

“Seperti mana kami rasa teruja hadir dengan buah tangan baru ini, kami juga berharapkan perkara sama untuk peminat muzik tempatan. Moga lagu ini dapat diterima dan memberi variasi kepada lagu raya di negara kita,” katanya.

Sementara itu, S Atan memberitahu dia menyiapkan lagu raya ini dalam tempoh tiga hari.

Lagu ini saya siapkan tiga hari selepas saya jatuh sakit pada bulan Februari lalu. Liriknya Siso siapkan pada pagi lagu ini dirakamkan kumpulan trio itu. Saya boleh kelaskan lagu ini sebagai genre pop. Saya dan Siso pun sudah banyak kali bekerjasama dan tahu cita rasa masing-masing.

“Insya-Allah lagu ini juga boleh jadi malar segar kalau pihak stesen radio terus putarkan dan mendapat promosi yang baik. Ketiga-tiga anggota ini juga mempunyai keunikan tersendiri dalam nada suara mereka,” katanya.

Tahniah Salam Today ucapkan kepada kumpulan E1. Semoga lagu raya ini mendapat sambutan ramai.

 

Sumber Foto : Pengurus Ezuwan Ismail