Peringatan: Jaga pemakanan di bulan Syawal!

Acara Siti Suriani Othman
Siti Suriani Othman
Peringatan: Jaga pemakanan di bulan Syawal!
Peringatan: Jaga pemakanan di bulan Syawal! © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Artikel ‘Jaga pemakanan di bulan Syawal’ ini akan membincangkan petua menjaga pemakanan di bulan Syawal. Semoga kita dapat mengelakkan masalah kesihatan pada bulan-bulan berikutnya, insya-Allah.

Aidilfitri berbeza

Aidilfitri tahun ini memang berbeza. Di Malaysia, aktiviti ziarah-menziarahi tidak dibenarkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk mengurangkan penyebaran wabak COVID-19.

Jika tidak, beraya di Malaysia selalu mendapat jolokan ‘Raya paling meriah’ terutama kerana kemeriahan sanak-saudara dan taulan yang datang berkunjung serta penganjuran rumah terbuka sehingga sebulan Syawal.

Tahun ini, tiada lagi kemeriahan fizikal itu. Sungguhpun Syawal tetap dinanti dan kekal sebagai hari kemenangan umat Islam, cabarannya nyata berbeza kali ini. Ini bermakna, berbeza jugalah cabaran utama yang sebelum ini iaitu bagaimana untuk mengurangkan nafsu makan di bulan Raya.

Namun, beraya dalam persekitaran terhad juga tetap diduga ‘panggilan’ makanan. Masak di rumah dan makan bersama ahli keluarga juga boleh menyebabkan makan yang berlebihan!

Makan mengikut sunah Nabi Muhammad SAW

Rasulullah SAW berpesan supaya berhentilah makan sebelum kenyang. Nampak mudah nasihat ini tetapi tidak mudah apabila diamalkan. Bak kata orang, sedang sedap makan,  takkan nak berhenti! Lagipun, bulan Syawal hanya sekali dalam setahun. Raikanlah diri sendiri selepas Ramadan.

Pelbagai ayat-ayat indah yang membelenggu fikiran dan hati kita apabila cuba mengurangkan makan. Memang semua kenyataannya benar, tetapi makan berlebihan selama sebulan boleh memberi kesan buruk kepada seseorang terutama bagi yang memang sudah menghidap penyakit kronik seperti kencing manis.

Makan berlebihan pada sepanjang bulan Syawal memang boleh memburukkan keadaan.

Beberapa petua penting untuk jaga pemakanan di bulan Syawal

Jangan terpedaya dengan kecantikan dan jumlah makanan yang ada

Biskut Raya memang cantik dan menarik serta mempunyai rasa yang sangat sedap. Jumlahnya juga banyak dan menawarkan keunikan masing-masing. Kawal diri untuk tidak ‘terpedaya’ memakan terlalu banyak kuih raya dan juadah lain yang berkarbohidrat tinggi.

Jangan makan ketika terlalu lapar

Ini bukan hanya benar ketika bulan Syawal tetapi setiap masa. Perut yang terlalu kosong menyebabkan kita makan terlalu banyak dan tidak dapat mengawal jumlah makanan yang diambil dalam satu-satu masa.

Lakukan senaman dan ambil air kosong yang mencukupi

Ini juga petua yang bersifat malar segar. Bersenam sangat penting, tetapi juga antara yang paling liat untuk dilakukan ramai orang. Minum air kosong pula mungkin ramai yang sudah mengamalkannya sepanjang tahun.

Tetapi di bulan Syawal perlu ditingkatkan pengambilan kerana kecenderungan kita memakanan makanan manis yang lebih pada bulan ini.

Tahu apa yang dimakan dan kira kalori

Seorang wanita misalnya dihadkan pengambilan kalori kepada 1500-1800 sehari. Ambil tahu kandungan kalori dalam setiap makanan yang dimakan dan kira kalorinya dan berhentilah makan apabila kalori sudah mencukupi untuk hari itu.

Sebiji burger misalnya mengandungi 400 kalori dan sebiji kuih raya mengandungi 20 kalori. Sepotong lemang pula mengandungi 100 kalori. Itu belum lagi dengan rending ayam lazatnya.

Bayangkan jika memakan lima potong lemang dan sebuah burger sudah menghampiri 1000 kalori. Selebihnya hanya ada 500-800 kalori sahaja lagi bagi seorang wanita pada hari tersebut!

Iltizam dan pengetahuan itu penting

Memang usaha mengurangkan makan bukan mudah terutama bagi individu yang suka makan dan mencuba pelbagai resepi baharu. Di bulan Syawal, pelbagai makanan istimewa dihidangkan walaupun dalam kekangan sambutan raya PKP.

Hal ini tetap mencabar mereka yang ingin mengurangkan jumlah pengambilan makanan. Di sinilah iltizam dan pengetahuan sama pentingnya dalam memastikan motivasi yang terbimbing untuk kekal sihat.