Peringkat orang berpuasa mengikut Imam Al-Ghazali

Puasa Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Peringkat orang berpuasa mengikut Imam Al-Ghazali
Peringkat orang berpuasa mengikut Imam Al-Ghazali © Muhammad Annurmal | Dreamstime.com

Kita telah pun memasuki 10 akhir Ramadan. Tirai Ramadan bakal melabuh dan meninggalkan kita. Adakah kita telah mengisi Ramadan kali ini dengan pengisian ibadah yang benar-benar mampu meningkatkan ketakwaan kita kepada Rabbul Izzati.

Bagaimana kita ingin mengakhiri Ramadan tahun ini? Adalah kita masih diberi peluang untuk berpuasa pada tahun akan datang? Teruskan berusaha memburu dan tingkatkan amalan mengejar malam terbaik iaitu Lailatul Qadar.

Tingkatkan amalan di 10 akhir Ramadan

Syaikh Abdul Aziz bin Baz Rahimahullah berkata:

“Barangsiapa yang bersungguh-sungguh pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan dengan melakukan solat, membaca Al-Quran, berdoa dan amalan ibadah lainnya pasti dia mendapatkan Lailatul Qadar dan beruntung dengan apa yang Allah SWT janjikan.”

(Majmu’ Fatawa, 6/399)

Baikilah diri, buatlah inspesksi amalan-amalan yang telah dilakukan, tingkatkan kemahiran dan ilmu membaca Al-Quran, perbaiki ibadah-ibadah sunat yang lain dan memperbanyakkan bersedekah. Ubahlah diri untuk menjadi yang lebih baik bukan hanya berada di takuk yang lama.

Kerugian besar orang berpuasa

Antara kerugian besar bagi orang berpuasa ialah:

  • Apabila bangun sahur tanpa mendirikan sekurang-kurangnya 2 rakaat solat sunat
  • Menghabiskan masa seharian atau meninggalkan hari-hari di bulan Ramadan tanpa membuat sebarang sedekah
  • Bila tidak melihat kelebihan berdoa sebelum berbuka puasa. Mohonlah doa sesungguhnya doa sebelum waktu berbuka tidak akan ditolak. Nabi Muhammad SAW bersabda:

Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

  • Menghabiskan waktu pagi dan petang dengan hanya berbaring dan tidur dengan alasan penat atau letih berpuasa
  • Langsung tidak membuka, membaca atau mendengar ayat-ayat suci Al-Quran

Tiga peringkat orang berpuasa mengikut Imam Al-Ghazali

Menurut Imam Al-Ghazali dalam Kitabnya Ihya Ulumuddin, kesemua tingkatan ini baik untuk kita jadikan rujukan atau sumber semangat dalam meningkatkan kualiti puasa dan amalan kita di 10 akhir Ramadan.

Peringkat Pertama: Saum al-umum (puasa orang awam)

Puasa saumul umum adalah puasa orang kebanyakan. Di mana puasa ini hanyalah dengan menahan makan dan minum dan menjaga kemaluan dari godaan syahwat. Ini merupakan tingkatan puasa yang paling rendah.

Tingkatan puasa ini merugikan kerana langsung tidak berusaha mendapatkan dan meningkatkan pahala yang lain melainkan sedikit. Rasulullah SAW bersabda:

“Banyak orang berpuasa tapi tidak mendapatkan pahala berpuasa, yang ia dapatkan hanya lapar dan dahaga.”

Peringkat Kedua: Saum al-‎khusus (puasa orang yang khusus, terpilih)

Berdasarkan Imam Al-Ghazali, tingkatan puasa saumul khusus adalah puasa orang yang selain menahan makan dan minum serta syahwat. Mereka juga menahan seluruh pancaindera pendengaran, pandangan, ucapan, gerakan tangan dan kaki dari segala macam bentuk dosa.

  • Menahan dan menjaga pandangan dari perkara yang dicela dan dimakruhkan
  • Menjaga lidah dan menjauhi dari berkata sia-sia seperti, berdusta, mengumpat, berkata keji, dan berdiam diri adalah lebih baik
  • Menghabiskan masa dan menggunakan waktu untuk berzikir kepada Allah SWT serta membaca Al-Quran
  • Memelihara pendengaran dari mendengar kata-kata yang tidak baik
  • Mencegah anggota tubuh yang lain dari melakukan sebarang perbuatan dosa
  • Mengelakkan dari membazir atau berlebih-lebihan semasa berbuka puasa

Tingkatan puasa ini bagi mereka yang hatinya senantiasa diliputi rasa takut (khauf) dengan penuh ketakwaan terhadap Allah Azza Wa Jal.

Peringkat Ketiga: Saum al-khusus al-khusus (puasa orang elit daripada yang terpilih)

Bagi tingkatan puasa yang ketiga yang juga dipanggil saumul khususil khusus ialah puasa hati. Mereka yang meninggalkan perkara-perkara sementara yang bersifat duniawi semata-mata. Mereka hanya meletakkan keseluruhan hatinya kepada Allah SWT.

Puasa khusus yang lebih khusus ini adalah berpuasa dengan hati (puasa hati) dengan menahan diri dari segala shahwat yang keji dan segala apa yang berkaitan dengan duniawi.

Mereka bukan hanya melakukan suruhan Allah SWT malah meninggalkan dan menjauhkan diri dari segala larangan serta lansung tidak memikirkan apa-apa selain Allah. Menurut Al-Ghazali, tingkatan puasa yang ketiga ini adalah tingkatan puasanya para Nabi, Siddiqqiin, dan Muqarrabin.

Semoga segala amalan kita diterima Allah SWT dan tergolong dalam golongan orang yang berpuasa khususil khusus. Teruskan memburu malam Al-Qadar!