Peristiwa pahit 2004 dan Masjid Kerisik, Patani

Dunia Zalina Majid 14-Sep-2020
dreamstime_s_114684866
Masjid Kerisik di Patani sekarang © Nisreen Prompalad | Dreamstime.com

Masjid Kerisik atau nama lainnya ialah Masjid Sultan Muzaffar Shah yang terletak di wilayah Patani, Thailand.  Masjid Kerisik dalam bahasa Thailand dikenali Krue Se Mosque atau Pitu Krue-ban Mosque. Ini adalah masjid yang pertama di Asia Tenggara yang dibina dengan menggunakan bata merah buatan kampung Tarab Bata.

Keistimewaan binaannya bercirikan stuktur Timur Tengah. Cara penyusunan batu-batanya dilakukan dengan menggunakan campuran kulit kerang dan beras pulut hitam yang ditumbuk lumat kemudian dicampur bahan tersebut dengan adunan telur putih dengan manisan cair. Cara ini merupakan salah satu kemahiran dan kebijaksanaan masyarakat Melayu tempatan terdahulu.

Dari tinggalan purba ia mungkin telah dibina pada tahun 1514 Masehi semasa pemerintahan Sultan Ismail Shah dan siap pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah. Masjid Kerisik ini dianggap sebagai Masjid Rasmi Kerajaan Melayu Patani Darussalam. Selain daripada berperanan sebagai tempat ibadah, masjid ini juga dijadikan sebagai pusat pentadbiran hal ehwal Islam dan  pusat pengajian ilmu agama.

Pada 28 April 2004, berlaku peristiwa yang menyayat hati umat Islam sedunia. Peristiwa berdarah terjadi sewaktu masyarakat selesai menunaikan solat fardhu. Suasana tiba-tiba di kepung oleh tentera Siam, jemaah masjid tidak dibenarkan keluar dalam tempoh masa yang lama sehingga tembakan bermula. Malahan, bom juga dijatuhkan melalui atas kubah masjid dengan menggunakan helikopter.

Tanpa belas kasihan rakyat di bunuh sebegitu rupa. Kejadian ini cukup menggambarkan kekejaman pihak tentera dan kerajaan Thailand pada masa itu sehingga mengorbankan sejumlah 108 nyawa anak muda dan orang tua yang tidak berdosa.

Kenangan pahit ini tidak akan hilang di hati rakyat Patani. Mereka kehilangan saudara-mara dengan sekelip mata dan ada yang mengalami cacat kekal akibat peristiwa kejam tersebut. Kini, Masjid Kerisik bukan sahaja menjadi tempat ibadah solat, malah sering menjadi tempat kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.