Peristiwa penukaran kiblat: hikmah dan pengajaran

Solat Aimy Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Peristiwa penukaran kiblat: hikmah dan pengajaran
Peristiwa penukaran kiblat: hikmah dan pengajaran © Golib Tolibov | Dreamstime.com

Peristiwa penukaran kiblat merupakan detik yang cukup bersejarah dalam menyatupadukan umat Islam. Kisah yang berlaku pada tahun kedua hijrah ini membuktikan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam mengekalkan kesucian imej Islam di samping kepatuhan hakiki yang ditunjukkan oleh para sahabat ra.

Selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW dikatakan masih solat menghadap ke arah Baitul Maqdis sekitar 16 atau 17 bulan. Setelah tempoh tersebut, barulah turun wahyu daripada langit berisi ketetapan penukaran kiblat ke arah Kaabah.

Realitinya, Nabi Muhammad SAW sangat mengharapkan pensyariatan tersebut dan telah berdoa kepada Allah Taala sekian lama.

Firman Allah SWT:

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah).”

(Surah Al-Baqarah, ayat 144)

Ayat ini mengesahkan bahawasanya Rasulullah SAW telah mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah SWT supaya berlakunya penukaran kiblat. Persolannya, apakah yang mendorong Baginda berdoa sedemikian?

Hikmah penukaran kiblat

Propaganda licik oleh musuh Islam

Kaum Yahudi yang terkenal dengan budaya mengejek dan memperlekeh sering melontarkan keraguan kepada penganut Islam. Mereka berbangga dengan praktis solat umat Islam yang menghadap kiblat yang sama seperti mereka.

Oleh itu, mereka sering menghasut umat Islam dan mengatakan bahawasanya agama Islam dan Yahudi adalah sama, dan Nabi Muhammad SAW akan bersatu bersama mereka kelak.

Apabila turun wahyu tersebut, pihak Yahudi menggagau dan mendakwa seluruh amalan umat Islam yang telah wafat terbatal secara langsung kerana syariat baru itu.

Alasan yang dangkal itu dilibas dengan sentapan hujah daripada Allah Taala melalui ayat 142 daripada surah Al-Baqarah.

Firman Allah SWT:

“Orang-orang bodoh akan berkata: Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhi-Nya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

Detik kemerdekaan identiti umat

Peristiwa penukaran kiblat telah menjadikan umat Islam mampu berdiri dengan keunggulan identiti tersendiri. Setelah sekian lama, umat Islam ketika itu berdepan dengan krisis identiti kerana sering dianggap meniru agama lain yang kononnya lebih senior.

Detik-detik sejarah Islam seperti pembezaan puasa Asyura dan laungan azan untuk memanggil solat juga membuktikan bahawasanya Rasulullah SAW sangat serius membebaskan identiti umat daripada dilihat sebagai cerminan agama songsang yang lain.

Perkara ini menjadi panduan penting kepada umat Islam hari ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan arus perdana sehingga dilihat sama sahaja dengan golongan kuffar yang memusuhi Islam.

Penyerahan jiwa hanya kepada Allah SWT

Ciri-ciri muslim yang hakiki adalah mereka yang bersungguh-sungguh menundukkan emosi dan nafsu serta menyerahkan jiwa raga mereka kepada agama.

Ketika Nabi Muhammad SAW mengisyaratkan penukaran kiblat tersebut, para sahabat terus patuh dan taat kerana akidah mereka dididik dengan kemas. Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan tertinggi dan perlu dicontohi oleh umat Islam.

Sudah pasti, Allah SWT tidak akan menetapkan sesuatu suruhan agama yang akan membinasakan hamba-Nya sendiri.

Proses tapisan daripada Allah Taala

Umat Islam ketika itu sangat berhajat agar golongan munafik terkeluar daripada saf mereka. Puak ini sering menyelinap ke dalam komuniti Islam dan menjadi mulut tidak rasmi dalam menyebarkan propaganda musuh Islam.

Oleh itu, peristiwa bersejarah ini telah menampakkan belang mereka apabila dilihat masih lagi cuba mewajarkan keraguan yang ditimbulkan puak Yahudi. Proses ini penting demi mencorakkan masa depan dakwah Islam yang gemilang serta suci dari doktrin kemunafikan.

Sesungguhnya agama ini akan kekal terjaga hingga kiamat. Persoalannya, apakah usaha kita supaya kekal berada dalam jalan iman?

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.