Perkahwinan lelaki dan wanita – anda dan pasangan

Kehidupan Hanita Hassan 06-Okt-2020
Муфтий Чечни Салах Межиев временно приостановил проведение никахов
Perkahwinan lelaki dan wanita - anda dan pasangan © Евгений Вершинин | Dreamstime.com

Setiap wanita pasti mengimpikan pasangan idaman, yang bukan sahaja berpenampilan menarik, tetapi juga berakhlak mulia dan beriman. Semua ciri idaman ini diharap dapat menjamin kebahagiaan diri apabila melayari bahtera rumah tangga.  Namun, semakin dicari kesempurnaan itu, semakin ia menjauh dan tidak ditemu. Ia adalah kerana tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Sempurna.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai umat manusia!  Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).  Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Surah al-Hujurat, ayat 13)

Perkahwinan – kelemahan dan kekurangan

Kehidupan ini lebih indah sekiranya anda dapat saling menerima kelemahan dan kekurangan bakal pasangan.  Sekiranya anda sedar bahawa anda juga tidak sempurna, begitulah juga dengan bakal pasangan. Anda bantu kelemahan pasangan dengan kelebihan anda dan begitulah sebaliknya baharulah bahagia dapat anda kecapi hingga ke jannah.

Dalam pencarian kesempurnaan itu, anda tidak sedar bahawa masa bergerak begitu pantas.  Masa tidak pernah menunggu dan tidak boleh diputar semula.  Ketika mengira angka usia, rupa-rupanya sudah melewati 40-an, kemudian 50-an dan akhirnya melupakan impian untuk mendapat pasangan hidup sempurna dan  hidup bersendiri selamanya.

Hari ini trend perkahwinan semakin menampakkan perubahan.  Di Malaysia misalnya daripada statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2017) mendapati umur minimum perkahwinan pertama bagi lelaki pada tahun 1980 adalah 26.6 tahun manakala perempuan adalah 23.5 tahun.

Tahun 2010 menyaksikan umur minimum perkahwinan pertama bagi lelaki iaitu 28.0 tahun manakala perempuan adalah 25.7 tahun manakala pada tahun 2016 dengan minimum umur berkahwin lelaki iaitu 29.3 tahun dan perempuan iaitu 26.2 tahun.

Perkahwinan lelaki dan wanita adalah sunah Islam

Soal perkahwinan lelaki dan wanita – anda dan pasangan anda membentuk kehidupan sendiri. Ia pembentukan keluarga dalam jangka panjang yang tidak boleh dianggap mudah. Justeru, tidak hairanlah jika pemilihan calon pasangan adalah punca utama kahwin lewat. Begitu juga dengan peningkatan taraf pendidikan wanita dan kemampuan berdikari dari segi kewangan sehingga mereka bebas merancang dan mengatur kehidupan peribadi.

Berdasarkan laporan bancian penduduk tahun 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 5.56 juta lelaki dan wanita berusia 30 tahun ke atas masih bujang.  Jumlah wanita bujang 30 tahun ke atas jauh lebih tinggi iaitu 4.8 juta berbanding jumlah lelaki bujang 739,000 orang.  Menurut statistik ini, dijangka jumlah wanita bujang tahun 2020 lebih tinggi berdasarkan trend berkahwin lewat yang menjadi kebiasaan dan diterima masyarakat pada hari ini.

Rasulullah SAW amat menggalakkan kita untuk berkahwin.  Daripada Aisya r.a berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Perkahwinan itu adalah sunahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Bagi wanita yang tidak berkahwin kerana menguruskan keluarga, ia satu perkara yang sangat baik.  Semoga Allah SWT mengurniakan anda pasangan meskipun di akhir usia anda.