Perkahwinan pilihan sendiri atau yang dijodohkan?

Budaya Hanita Hassan 07-Ogo-2020
Perkahwinan pilihan sendiri atau yang dijodohkan? © Sukarman _ | Dreamstime.com

Perkahwinan adalah ikatan suci di antara lelaki dan perempuan sebagai suami isteri (Kamus Dewan). Dari segi bahasa, perkahwinan berasal dari bahasa Arab dari kata ‘nikah’. Ia adalah amalan yang disyariat dan ditekankan untuk dijalani oleh setiap orang yang mempunyai syahwat dan mampu melangsungkannya.

Budaya dalam masyarakat Melayu dahulu perkahwinan adalah sebagai satu aturan keluarga. Orang dahulu mencarikan jodoh kerana mahukan yang terbaik untuk pasangan anak-anak. Biasanya pilihan keluarga selalunya menepati semua aspek, hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.

Allah SWT menyuruh kita memilih jodoh yang baik.  Janganlah kita sengaja memilih jodoh yang kita tahu boleh membahayakan kita, melanggar perintah dan mendapat dosa kerana sengaja mencampakkan diri dalam kebinasaan.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran, mafhum-Nya: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita dikahwini kerana empat hal: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Sebab kalau tidak demikian, nescaya kamu akan celaka.”  (Hadis riwayat Bukhari, 6:123, Muslim, 4:175)

Apabila kita mencari jodoh yang terbaik dengan usaha yang bersungguh-sungguh, kita akan mendapat pahala walaupun pasangan kita itu sebenarnya bersembunyi di sebalik topeng yang jahat. Allah SWT juga membenarkan kita berpisah, mengambil fasakh dan sebagainya jika jodoh itu tidak sesuai.

Sepertimana kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.  Kisah Habibah binti Sahl yang dijodohkan oleh orang tuanya dengan seorang pemuda bernama Tsabit bin Qais. Habibah tidak pernah melihat wajah bakal suaminya sehinggalah pada malam dia dinikahkan.

Dia percaya dengan jodoh pilihan orang tuanya.  Namun sebaik sahaja melihat wajah suaminya, Habibah tidak dapat menerima jodoh itu walaupun Tsabit bin Qais tinggi imannya.  Ini kerana paras wajah Tsabit yang hitam, hodoh dan bertubuh pendek.

Habibah mengungkapkan kekecewaannya kepada Rasulullah SAW: “Wahai  Rasulullah, kepala saya tidak dapat bertemu dengan kepala Tsabit buat selama-lamanya.  Saya menyingkap ruang kamar, dan melihatnya bersiap-siap.  Ternyata dia sangat hitam kulitnya, pendek tubuhnya dan sangat buruk wajahnya…”  (HR al-Bukhari)

Rasulullah SAW bertanya, “Mahukah engkau mengembalikan kebun pemberian suamimu?”  Habibah menjawab, Ya.  Maka Rasulullah SAW bersabda, Terimalah kebun itu hai Tsabit, dan jatuhkanlah talak satu kepadanya!” (HR al-Bukhari)

Inilah kisah Khuluk (tebusan talak) yang terjadi pertama kali dalam sejarah hukum Islam. Hukumnya harus.  Ia berlaku dengan cara tebusan berbentuk harta yang diberikan oleh isteri kepada suaminya.

Hari ini, perjodohan sudah menjadi tidak popular. Mengahwini seseorang yang tidak dikenali atau dicintai adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.  Pilihan emak ayah biasanya tidak menepati cita rasa dan ciri-ciri calon suami atau  isteri idaman.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang.  Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir.” (Surah ar-Ruum, ayat 21)

Justeru, pilihan di tangan anda. Buatlah persediaan sekiranya anda mahukan jodoh yang terbaik.  Berusahalah menjadi sempurna untuk mendapat jodoh yang sempurna. Semuanya terletak di tangan anda. Seperti rezeki, jodoh juga tidak pernah salah orang.