Perlu berwuduk bila membaca al-Quran di telefon pintar? Ini jawapannya

Teknologi 10 Mac 2021 Md Wa'iz
Md Wa'iz
Perlu berwuduk bila membaca al-Quran di telefon pintar? Ini jawapannya
Perlu berwuduk bila membaca al-Quran di telefon pintar? Ini jawapannya © Muhammad Fadhli Adnan | Dreamstime.com

Penggunaan telefon pintar pada masa kini memudahkan orang Islam dalam banyak perkara. Salah satunya ialah kemudahan membaca Al-Quran di telefon pintar tersebut.

Persoalannya, adakah kita perlu berwuduk jika mahu membaca al-Quran digital melalui telefon?

Kelebihan membaca Al-Quran digital

Terdapat satu hadis Nabi Muhammad SAW yang terkenal mengenai kelebihan atau ganjaran membaca al-Quran. Hadis daripada Muhammad bin Ka’ab Al-Qurazi, beliau mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang membaca satu hruf daripada Kitabullah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan.”

(Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Daripada hadis ini, dapatlah difahami bahawa, pahala membaca al-Quran itu dikira berdasarkan hurufnya. Jika satu perkataan dalam al-Quran itu mempunyai lima huruf, maka kita akan memperoleh lima kebaikan.

Begitulah pemurahnya Allah Taala.

Perlukah berwuduk jika mahu membaca Al-Quran?

Dalam persoalan membaca al-Quran di telefon ini, kita perlu melihat kepada dua situasi. Pertama, situasi mengenai hukum membaca al-Quran itu sendiri. Kedua, situasi berkenaan membaca al-Quran di telefon.

Berbalik kepada situasi pertama mengenai hukum membaca al-Quran tanpa wuduk. Para alim ulama menyatakan bahawa, disunatkan kepada seseorang itu untuk menyucikan dirinya terlebih dahulu sebelum membaca al-Quran.

Menurut Imam Nawawi, sunat untuk membaca al-Quran ketika dalam keadaan bersuci dan harus hukumnya jika membaca al-Quran dalam keadaan berhadas. Pendapat ini juga ialah pendapat majoriti ulama.

Imam Nawawi turut menyatakan, mereka yang sedang dalam keadaan berhadas besar atau didatangi haid, maka haram hukumnya untuk mereka membaca al-Quran.

Wajibkah berwuduk sebelum sentuh, baca Al-Quran di telefon?

Para ulama telah bersepakat bahawa, menyentuh al-Quran dalam keadaan berhadas kecil atau besar adalah diharamkan.

Oleh itu, jika seseorang itu berada dalam keadaan hadas kecil, maka dia perlulah berwuduk. Manakala jika seseorang itu berada dalam keadaan hadas besar, maka perlulah mandi wajib dan juga berwuduk sebelum menyentuh al-Quran.

Bagi keadaan al-Quran secara digital di dalam telefon, kita perlulah menentukan terlebih dahulu sama ada ia adalah sebuah mushaf atau tidak. Ini kerana, jika ia adalah mushaf, maka wajib untuk berwuduk sebelum menyentuhnya.

Sesebuah mushaf al-Quran itu ditentukan berdasarkan sifat objek tersebut. Sifat mushaf ialah sesuatu yang ditulis padanya dengan ayat al-Quran dan dapat dilihat tulisannya. Ini termasuklah kertas, lembaran kain, kulit kayu, ukiran kayu, kulit haiwan, batu atau tanah.

Jika al-Quran itu ditulis di udara, maka ia bukanlah mushaf kerana tulisannya bukanlah wujud secara fizikal dan tidak dapat dilihat. Oleh itu, al-Quran yang terdapat dalam telefon pintar tidak dikira sebagai mushaf.

Sunat berwuduk walaupun hanya di telefon pintar

Syeikh Ali Jumaah turut menyatakan bahawa, menyentuh telefon pintar dengan tujuan membaca al-Quran meskipun tanpa wuduk adalah diharuskan.

Jika kita mahu mendapat pahala yang lebih ketika membaca al-Quran, maka disunatkan untuk berwuduk walaupun membaca al-Quran di telefon sahaja.

Berwuduk sebelum membaca al-Quran adalah antara adab yang sangat dianjurkan dalam Islam.