Perlukah kita risau dengan suntikan vaksin AstraZeneca?

Kesihatan Md Wa'iz
Md Wa'iz
Perlukah kita risau dengan suntikan vaksin AstraZeneca?
Perlukah kita risau dengan suntikan vaksin AstraZeneca? © Mariusz Burcz | Dreamstime.com

Baru-baru ini, terdapat beberapa kes berkaitan masalah penggumpalan darah berlaku di seluruh dunia setelah disuntik dengan vaksin AstraZeneca.

Adakah kita juga perlu berasa risau dengan pengambilan vaksin AstraZeneca ini?

Beberapa negara menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca

Denmark merupakan antara negara Eropah yang menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca buat sementara waktu selepas terdapat kebimbangan mengenai kes pembekuan darah ini. Hal ini menyebabkan negara tersebut mengalami kelewatan dalam pemberian vaksin akibat daripada penangguhan penggunaan vaksin jenis ini.

Selain daripada Denmark, beberapa negara Eropah juga telah menangguhkan pemberian vaksin AstraZeneca ini buat sementara waktu. Antaranya Sepanyol, Jerman, Perancis, Itali, Norway dan Belanda. Begitu juga dengan Bulgaria, Ireland, Indonesia dan Thailand.

Namun, pihak AstraZeneca menyatakan bahawa kadar kes pembekuan darah ini adalah sangat kecil. Hanya 40 kes yang berlaku selepas lebih 17 juta individu disuntik dengan vaksin ini di Kesatuan Eropah dan United Kingdom.

Bagaimana dengan respons Malaysia?

Pada bulan Mac yang lalu, pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau NPRA telah bertemu dan mendapatkan penerangan daripada pengeluar vaksin AstraZeneca ini. Pihak AstraZeneca telah memberikan penerangan lanjut berkenaan kesan sampingan yang mungkin akan berlaku iaitu penggumpalan darah selepas mengambil suntikan ini.

Buat masa ini, Malaysia masih meneruskan pemberian vaksin AstraZeneca dan ia dilakukan secara sukarela melalui tempahan slot secara ‘siapa cepat, dia dapat’. Oleh itu, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca ini, mereka boleh membuat tempahan slot di empat Pusat Pemberian Vaksin di Kuala Lumpur dan juga Selangor sahaja.

Sebanyak 268,000 dos vaksin AstraZeneca bakal diberikan kepada penerima secara sukarela ini bermula 5 Mei sehinggalah 5 Jun 2021.

Perlukah kita berasa risau dengan vaksin AstraZeneca ini?

Untuk pengetahuan anda, risiko untuk mendapat masalah penggumpalan darah daripada suntikan vaksin ini amatlah kecil. Daripada 190 juta dos vaksin yang telah diberikan kepada penerima di seluruh dunia, hanya 182 kes penggumpalan darah sahaja yang dilaporkan berlaku.

Selain itu, kajian menyatakan bahawa tidak terdapat sebarang bukti kuat yang mengaitkan vaksin ini dengan kejadian penggumpalan darah. Malah, kebanyakan kes pembekuan darah ini hanya berlaku dalam kalangan wanita yang berusia 60 tahun ke bawah dan tiada peningkatan risiko dalam kalangan penerima warga emas.

Di United Kingdom, hanya empat kes masalah darah beku berlaku dalam setiap satu juta penerima. Ini membuktikan bahawa risiko untuk mengalami darah beku disebabkan vaksin sangatlah kecil. Tabiat merokok mempunyai risiko yang jauh lebih tinggi untuk menyebabkan masalah darah beku berbanding suntikan vaksin.

Kita boleh berasa risau, namun kita perlu mendapatkan maklumat dan berita daripada sumber yang sahih dan boleh dipercayai. Jika vaksin ini mempunyai beberapa kesan sampingan seperti risiko darah beku, manfaat yang diberikannya ternyata jauh lebih besar berbanding kesan sampingannya dalam mengekang jangkitan wabak COVID-19.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.