Permohonan perjalanan antara negeri dibuka Sabtu

Kehidupan Ahmad Mahmud 22-Apr-2020
Georgetown, Pulau Pinang semasa PKP © Tiam Seong Yew | Dreamstime.com

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi mereka yang dahulunya kembali ke kampung halaman sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kini boleh mula memohon pada hari Sabtu untuk kebenaran pulang.

Menurut beliau, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’ yang dibangunkan secara bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Permohonan juga boleh dibuat di balai polis terdekat.

Secara teori, perjalanan antara negeri ini masih dalam kajian. Walaupun dibenarkan, ia mungkin akan berlaku selepas 1 Mei. Permohonan akan dibuka pada 25 April, dan para pemohon perlu menunggu laporan dari balai polis selepas tarikh tersebut.

Selepas tarikh permohonan, maklumat mengenai berapa banyak yang ingin kembali, memulakan perjalanan dan sebagainya akan diketahui. Berdasarkan maklumat ini, prosedur operasi standard (SOP)  yang ketat berkenaan perjalanan luar bandar akan dapat dimuktamadkan.

Sementara itu, semalam polis telah menahan 865 individu kerana melanggar PKP. Dari jumlah ini, 732 telah direman dan selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis.

Semenjak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setakat ini seramai 17,735 orang telah melanggar perintah kerajaan ini. PKP yang dipanjangkan bagi mengekang penyebaran COVID-19 ini dijadualkan berakhir pada 28 April.

Mengenai berita palsu COVID-19, pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah membuka 237 kertas siasatan setakat ini. Semenjak 30 Mac, sebanyak 3,332 operasi pembersihan telah dilakukan di 109 zon, termasuk 30 zon merah.

Semalam, 292 operasi pembersihan telah dilakukan di 81 zon dalam 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan), termasuk 41 kawasan di Johor dan 33 di Perak. Operasi pembersihan itu melibatkan 234 bangunan kerajaan, 110 tempat awam, 174 pusat perniagaan dan 21 pasar raya.