Permudahkan, jangan sukarkan

Masyarakat 05 Feb 2021 Tari Basir
Tari Basir
Permudahkan, jangan sukarkan
Permudahkan, jangan sukarkan © Liderina | Dreamstime.com

Selaku manusia, kehidupan kita tidak akan pernah terlepas daripada berurusan dengan orang lain. Hampir setiap hari, kita akan berurusan dalam pelbagai jenis perkara di mana jua tempat, seperti urusan jual beli mahupun urusan rasmi di premis kerajaan.

Malahan, sekiranya kita bekerja sama ada berada di posisi yang rendah mahupun tinggi, kita sentiasa akan berurusan dengan orang lain, seperti urusan pejabat, pembahagian kerja dan sebagainya.

Permudahkan, jangan sukarkan

Dalam bahasa Arab, urusan ini dinamakan muamalah. Kalimah muamalah merujuk kepada proses urusan antara dua orang sekurang-kurangnya, dan berlakunya pertukaran atau saling dilakukan antara satu sama lain.

Realitinya, muamalah yang berlaku hanya melibatkan dua pihak sahaja. Satu, pihak yang lebih tinggi kuasanya seperti pembeli, pegawai atasan, atau majikan. Dua, pihak yang lebih rendah kuasanya daripada golongan pertama tadi seperti penjual, pekerja dan lain-lain.

Setiap muamalah berlaku dengan ketetapan atau prosedur operasi standard (SOP) yang tersendiri atau telah ditetapkan. Sudah tentu, ketetapan atau SOP ini bertujuan memastikan muamalah yang berlaku lancar dan menghasilkan natijah yang dikehendaki, selain daripada menjaga hubungan antara kedua-dua pihak tersebut.

Kesukaran lebih dipilih berbanding kesenangan

Sayangnya, tidak semua proses muamalah berlaku dengan mudah. Perkara ini berlaku disebabkan beberapa faktor. Antaranya ketetapan atau SOP yang sukar untuk dipatuhi dan masalah komunikasi yang berlaku antara dua pihak itu tadi.

Realitinya, muamalah menjadi sukar apabila tiada kesepakatan berlaku antara kedua-dua pihak tersebut. Pihak pertama, iaitu mereka yang berautoriti atau memiliki kuasa yang lebih besar daripada pihak kedua, tidak menggunakan autoriti mereka dengan baik.

Bahkan ada yang mengambil peluang untuk menyukarkan pihak kedua, walaupun hakikatnya kesenangan boleh dipilih berdasarkan autoriti yang mereka miliki.

Kesukaran yang lebih dipilih sehingga menyusahkan pihak kedua ini kebiasaannya berlaku di tempat kerja. Majikan atau ketua organisasi memilih untuk membuat keputusan yang akhirnya menyusahkan para pekerja di bawah mereka.

Jangan pilih untuk menyusahkan

Sebagai contoh, mesyuarat telah dilakukan untuk melaksanakan sesuatu perkara, dan keputusan sepakat telah pun dicapai. Kesemua ahli organisasi termasuklah pekerja bawahan telah pun sedia maklum terhadapnnya, dan telah pun membuat persiapan.

Namun, di saat akhir majikan atau ketua organisasi membuat keputusan untuk mengabaikan keputusan sepakat yang telah pun dicapai tadi. Sehingga akhirnya ini menyusahkan anak-anak buahnya.

Contoh lain, urusan pejabat yang berlaku di premis kerajaan. Benar, ketetapan atau SOP telah pun dilaksanakan agar urusan menjadi mudah dan proses tersebut dapat berlaku dengan lancar. Tetapi sudah tentu akan wujud beberapa kesukaran yang berlaku daripada pihak kedua walaupun di luar kehendak mereka.

Namun, pihak pertama yang memiliki autoriti atau kuasa tetap tiada toleransi atau budi bicara. Walaupun sebenarnya mereka mampu memilih untuk menyenangkan pihak kedua, kerana bersikap mahu menyenangkan urusan dan membantu mereka.

Mudahkan urusan, jangan sukarkan

Nabi junjungan kita Muhammad SAW telah pun berpesan kepada kita. Terutamanya yang berada di pihak pertama, berjawatan tinggi dan memiliki autoriti dan kuasa, untuk sentiasa memudahkan urusan pihak kedua. Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi Muhammad SAW, iaitu:

“Permudahkan dan jangan menyusahkan. Berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari menjauh.”

Ingatlah, sentiasa mudahkan urusan orang lain. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan kita dibenci dan orang lain mula menjauh daripada kita. Mengapa memilih untuk menyukarkan urusan orang lain, jika punya autoriti untuk menyenangkannya?