Pernah dengar kisah Hajarul Aswad dicuri selama 22 tahun?

Sejarah Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Pernah dengar kisah Hajarul Aswad dicuri selama 22 tahun?
Pernah dengar kisah Hajarul Aswad dicuri selama 22 tahun? © Imgur dot com

Pernahkah anda mendengar mengenai kisah batu Hajarul Aswad dicuri selama 22 tahun? Bagaimanakah ia berlaku dan siapakah yang bertanggungjawab mencurinya.

Ini kisah mengenainya.

Hajarul Aswad dicuri Syiah Qaramithah

Qaramithah (Qarmatian dalam bahasa Inggeris) adalah sebuah pemikiran pengikut Syiah daripada cabang Syiah Ismailiyah. Fahaman ini telah diasaskan oleh Abu Said Al-Hassan Al-Jannabi. Pengaruh fahaman ini amat besar dan pernah berkuasa di beberapa kawasan Timur Tengah seperti Bahrain, Syam dan Oman.

Abu Thahir, yang merupakan pemimpin kedua fahaman Qaramithah ini adalah individu yang bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas jemaah haji dan mencuri batu Hajarul Aswad di Kaabah.

Dalam Kitab Bidayah Wan Nihayah, ada diceritakan mengenai sifat Abu Thahir ini. Dikatakan bahawa Abu Thahir adalah seorang yang ganas sehingga orang awam amat takut kepadanya.

Detik Hajarul Aswad dicuri

Pada tahun 317 Hijrah, golongan Qaramithah yang dipimpin oleh Abu Thahir ini telah menyerang jemaah haji di Mekah. Golongan ini telah bertindak kejam dengan membunuh serta merompak harta benda milik jemaah haji.

Selepas menyerang jemaah haji, golongan Qaramithah ini telah memasuki Masjidil Haram dan melakukan kerosakan pada Kaabah. Pintu Kaabah dihancurkan, malah mayat mereka yang dibunuh telah dimasukkan ke dalam Perigi Zam-Zam dengan tujuan untuk mencemarkan perigi tersebut.

Pada ketika ini juga, batu Hajarul Aswad dicuri oleh Abu Thahir sambil beliau mencabar tuhan dengan mempersoalkan kehadiran burung-burung Ababil (merujuk kepada azab yang diterima tentera Abrahah sewaktu menyerang Kaabah).

Penguasa Mekah hadir dan berunding dengan Abu Thahir bagi mendapatkan semula batu tersebut. Malangnya, beliau juga turut dibunuh seperti orang-orang lain.

Disimpan di Al-Ahsa selama 22 tahun

Golongan Qaramithah ini telah membawa pulang kesemua harta jemaah haji yang dirompaknya beserta Hajarul Aswad ke Al-Ahsa. Pada ketika itu, Al-Ahsa adalah pusat pentadbiran bagi Kerajaan Qaramithah ini.

Mereka telah membina sebuah binaan yang bernama Ainul Kuaibah bagi menandingi Masjidil Haram dan meletakkan Hajarul Aswad di bangunan ini. Tujuannya adalah untuk memaksa umat Islam datang mengerjakan haji di Al-Ahsa.

Namun, apa yang dilakukan oleh Abu Thahir ini adalah sia-sia kerana tiada sesiapa pun yang menunaikan haji di sana. Ini kerana, menziarahi Hajarul Aswad bukanlah salah satu daripada rukun atau syarat sah haji.

Dibawa pulang semula ke Mekah

Selepas 22 tahun batu Hajarul Aswad dicuri itu berada di Al-Ahsa, ia telah dibawa pulang kembali ke Mekah oleh Khalifah Al-Muktadir Billah.

Khalifah Al-Muktadir Billah dengan kekuatan seramai 80 ribu orang askar telah menyerang puak Qaramithah ini yang hanya memiliki 3000 ribu askar.

Abu Thahir dan pasukannya tewas dan bersetuju untuk memulangkan kembali batu tersebut. Dikatakan hanya seekor unta diperlukan untuk membawa pulang Hajarul Aswad ke Mekah, berbanding puluhan ekor unta sewaktu ia dibawa lari ke Al-Ahsa.

Batu Hajarul Aswad ini dipulangkan kembali pada tahun 339 Hijrah.

Ambil iktibar kisah Hajarul Aswad yang hilang

Kini kita telah mengetahui sedikit sejarah mengenai Hajarul Aswad dicuri selama 22 tahun. Peristiwa ini jelas menunjukkan bagaimana umat Islam masih tetap taat menunaikan haji di Mekah walaupun tanpa kewujudan Hajarul Aswad.

Walaupun Hajarul Aswad hanyalah sekadar batu pelengkap kepada binaan Kaabah, ia adalah lambang sejarah yang signifikan bagi umat Islam.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.