Perniagaan kecil harus teroka model niaga sesuai normal baru

Perniagaan Adea Ghafar 01-Mei-2020
Hampir semua sektor ekonomi akan dibuka 4 Mei © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggar atau diubah menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap semua perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (SMEs) dapat meneroka model perniagaan baru yang sesuai dengan kelaziman atau normal baru kini.

Beliau mengatakan, kepada yang masih menjalankan perniagaan cara konvensional, mereka harus menggunakan teknologi baru seperti sistem pembayaran tanpa tunai dan pemasaran dalam talian. Sebagai sebahagian daripada budaya perniagaan baru, pemilik kedai runcit dan pengusaha makanan contohnya, juga perlu mengubah pendekatan mereka agar lebih mesra teknologi.

Tambah beliau, semua perniagaan juga perlu terus mengurangkan interaksi bersemuka. Jika tidak boleh berubah sekali gus, ia harus menjadi sebahagian daripada pelan luar jangkaan sekiranya situasi serupa muncul semula.

Menurut Wan Junaidi, kementeriannya juga bersedia memberikan nasihat dan bimbingan kepada usahawan melalui agensi yang berkaitan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (Tekun Nasional), SME Bank, Bank Rakyat, SME Corp, serta melalui latihan yang dijalankan oleh Institut Keusahawanan Nasional (INSKEN).

TEKUN Nasional juga telah mempermudah proses permohonan dalam talian untuk Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan COVID (CBRM), dan mereka yang terlibat hanya perlu mengisi borang di http://fas.tekun.gov.my/cbrm