Pernikahan usia muda

Kehidupan Hanita Hassan 14-Jul-2020
Pernikahan usia muda © Ariffruslan | Dreamstime.com

Islam tidak meletakkan usia sebagai satu perkara wajib dalam menentukan syarat seseorang itu layak berkahwin. Perkahwinan juga memerlukan persediaan dari segi mental dan fizikal.  Ia bukannya mainan atau percubaan.

Ketika ini, had usia minimum perkahwinan bagi orang Islam di Malaysia ialah 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun untuk lelaki.  Pengecualian berkahwin bagi individu bawah umur bagaimanapun diberi sekiranya mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Hari ini, perkahwinan di usia muda dianggap pelik dan tidak matang. Sedangkan perkahwinan akan menjadikan hidup anda lebih teratur. Ini kerana segala aturan hidup sudah ada yang membantu menguruskannya.

Bagi anda yang berkahwin selepas umur 30-an, tahap kesuburan juga mungkin mengalami kemerosotan sama ada lelaki mahupun wanita. Dalam masa yang sama, risiko untuk melahirkan anak setelah usia meningkat semakin tinggi.

Kajian mendapati, faktor umur seseorang ibu turut mempengaruhi tahap kebijaksanaan dan kesempurnaan seseorang anak.

Ramai di luar sana yang asyik mengejar peningkatan dalam kerjaya. Akhirnya tanpa sedar, usia semakin lanjut dan anda masih keseorangan. Anda tidak sedar masa berlari.  Anda juga mengabaikan pencarian pasangan hidup yang merupakan tanggungjawab yang perlu dilunasi.

Perkahwinan adalah sunah Rasulullah SAW.  Ia dianjurkan berdasarkan nas al-Quran dan hadis.  Dalam membina kehidupan, inilah fitrah manusia untuk hidup sempurna dan bahagia.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain.  Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.”  (Surah Aal-i Imran, ayat 34)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi 1655, al-Nasa’i 3218)

Jika disingkap sejarah perkahwinan ibu bapa kita, mereka sudah membina keluarga seawal usia 18 tahun selepas tamat tingkatan lima atau tingkatan enam.  Meskipun berkahwin muda, perkahwinan ibu bapa kita juga bahagia dan dapat bertahan meskipun pelbagai rintangan melanda.

Kajian mendapati kahwin muda dapat mematangkan seseorang.  Ini kerana anda perlu memikul tanggungjawab baharu sebagai suami atau isteri.  Anda perlu memenuhi semua peranan ini dengan baik di samping memastikan hati pasangan dan mertua serta ipar duai dijaga sepanjang masa.

“Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.”  (HR al-Baihaqi 5486, al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat 7647)

Sesungguhnya perkahwinan adalah tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah SWT.  Semoga kita diberikan kefahaman untuk mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan ini.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!