Perodua Anjur Pertandingan Kemahiran Badan & Cat

Suka Nor Syariza Tahir 24-Jul-2019

Buat pertama kalinya, Perodua menganjurkan Pertandingan Kemahiran Badan & Cat (B&P) dalam usaha untuk membangunkan modal insan serta memberikan perkhidmatan B&P yang lebih baik kepada para pelanggan.

Ditubuhkan pada tahun 2009, perniagaan B&P Perodua melibatkan pembaikan dan pemulihan kenderaan yang terlibat dalam perlanggaran serta turut membantu pelanggan dalam proses tuntutan insurans.

Meskipun Perodua telah menganjurkan Pertandingan Kemahiran Teknikal Kebangsaan sejak tahun 1997 yang melibatkan penasihat servis, foreman dan mekanik dari seluruh Malaysia, ini merupakan kali pertama pertandingan seperti itu diadakan untuk kakitangannya di B&P.

Menerusi pertandingan tersebut, para peserta diberikan senario sukar yang berkaitan dengan pelanggan.

Mereka kemudiannya dinilai bukan sahaja berdasarkan kebolehan teknikal serta kemahiran menyelesaikan masalah, malahan penekanan yang diberikan kepada kepuasan pelanggan, yang merupakan elemen terpenting.

Pertandingan Kemahiran B&P Perodua menyaksikan seramai 140 penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat daripada 33 hab B&P dan 4S di seluruh negara menyertai pusingan awal yang berlangsung sepanjang Februari dan Mac lalu.

Peringkat separuh akhir pada April lalu seterusnya telah menghasilkan 12 finalis dalam tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu penasihat servis B&P, juruteknik badan dan juruteknik cat.

Manakala pada peringkat akhir yang diadakan minggu lepas, ia telah menyaksikan Norhizam Zainal Abidin (Hab Puchong B&P), Hazinin Rosli (Kota Kinabalu 2) dan Fazwan Mazlan (Kota Bharu 1) masing-masing menjuarai kategori yang dipertandingkan.

“Kami mengucapkan tahniah kepada juara-juara kebangsaan B&P pertama Perodua.

“Mereka mewakili Perodua dalam menawarkan perkhidmatan terbaik di negara ini dari segi B&P dan menjadi contoh kepada kakitangan B&P kami di seluruh negara,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin.

Tambah Zahari, Pertandingan Kemahiran B&P Perodua memberi banyak manfaat.

“Melalui persaingan yang sihat, ia menggalakkan para peserta untuk mempelajari, berkongsi dan mengamalkan pengetahuan yang diperolehi, selain turut melaksanakan Kaizen atau penambahbaikan secara berterusan.

“Ini mengasah kemahiran mereka dan memastikan mereka kekal berdaya saing serta relevan dengan keperluan dan kehendak pelanggan kami yang dihargai.

“Selain itu, ia juga mampu memajukan kerjaya mereka,” jelasnya.

Pertandingan Kemahiran B&P Perodua merupakan salah satu daripada inisiatif syarikat pengeluar kenderaan nasional itu untuk mengukuhkan ‘Pengalaman Perodua’, yang bertujuan bagi menawarkan pakej mobiliti serba lengkap.

Ia merangkumi produk, alat ganti, perkhidmatan dan penyelesaian – bagi memenuhi keperluan dan kehendak para pelanggan.

Sedikit ulasan mengenai perniagaan B&P Perodua, Zahari berkata, perniagaan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan masalah dan membaik pulih kenderaan yang terlibat dalam perlanggaran, dengan melaksanakan kerja sebaik mungkin mengikut tahap kualiti dan keselamatan yang tinggi.

“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Apabila sesebuah kenderaan terlibat dalam perlanggaran, keadaan struktur dan tahap keselamatannya mungkin akan terjejas.

“Juruteknik B&P kami telah dilatih secara profesional untuk memberikan mutu kerja yang terbaik dalam proses memulihkan kenderaan Perodua yang terlibat dalam perlanggaran.

“Selain itu, dengan penggunaan alat ganti tulen, ia turut memberi ketenangan minda kepada para pelanggan kami,” jelas Zahari.

Foto: Perodua