Perodua Axia Tembusi Pasaran Seychelles

Suka Nor Syariza Tahir 28-Jun-2019

Perodua melancarkan model Axia di Seychelles, sekali gus menandakan kemasukan jenamanya ke negara kepulauan itu.

Dilancarkan di Hotel Eden Bleu, Perodua Axia ditawarkan di sana dalam varian E MT, G AT, SE dan AV, dengan harga promosi masing-masing bernilai Rupee Seychellois 235,000 (RM71,500), 265,000 (RM80,600), 275,000 (RM83,700) dan 290,000 (RM88,300).

Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan intelligent variable valve timing yang disambungkan kepada transmisi manual lima-kelajuan bagi varian E MT dan transmisi automatik empat-kelajuan bagi varian-varian yang lain.

“Kami sangat teruja untuk mengeksport ke Seychelles kerana ia memberi peluang kepada kami untuk memperkenalkan jenama Perodua kepada masyarakat berbilang bangsa yang berkunjung ke negara ini untuk bercuti.

“Kami percaya bahawa ini akan memanfaatkan pasaran eksport kami pada masa hadapan,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd. Datuk Dr. Zahari Husin.

Perodua telah melantik SF Hybrid Motors Pty Ltd sebagai pengedar rasminya di Seychelles bagi mengendalikan jualan dan selepas jualan di sana.

“Perodua dan SF Hybrid Motors baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman bagi memasarkan model Perodua di Seychelles kepada pembeli individu dan fleet,” tambah Zahari.

Di benua Afrika, Perodua turut mengeksport ke Mauritius, di mana lebih 3,000 unit kenderaannya telah dijual sejak 1996.

“Kami akui bahawa prestasi eksport Perodua masih tidak signifikan pada masa ini, namun kami gigih berusaha untuk mengembangkan perniagaan ini.

“Kami juga sedang bekerjasama dengan rakan teknikal dan teknologi kami, Daihatsu Motor Company of Japan, dengan memanfaatkan pengalaman dan rangkaian mereka untuk merancang eksport yang lebih mampan dan menguntungkan,” jelas Zahari.

Beliau menambah, Seychelles adalah destinasi popular bagi pelancong Eropah serta Afrika, dan ini akan membuka lebih banyak peluang eksport melalui pendedahan jenama Perodua.

“Kami amat berbesar hati untuk membawa Perodua ke Seychelles. Kami percaya kepada Perodua, oleh itu kami menawarkan waranti tiga tahun sehingga 100,000 kilometer.

“Perodua Axia amat sesuai untuk pasaran Seychelles – ia menawarkan gaya, keselamatan, ciri-ciri pintar serta kos pemilikan, servis dan alat ganti yang rendah,” kata Pengarah SF Hybrid Motors, Christophe Larue.

Seychelles adalah sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada 115 pulau di Lautan Hindi, sebelah timur daratan Afrika.

Foto: Perodua