Perodua Buka Pusat Nadi Hijau, ECO Garden

Suka Nor Syariza Tahir 20-Jun-2019

Selepas melancarkan kawasan rekreasi, Laman Hijau pada bulan lepas, syarikat pengeluar kereta nasional, Perodua sekali lagi menggiatkan usaha hijaunya dengan membuka secara rasmi ECO Garden di tengah-tengah kampus ibu pejabat dan pengeluarannya di Sungai Choh, Rawang.

Diilhamkan oleh Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Masanori Takahashi, taman mampan berukuran 1,500 meter persegi itu merupakan peneraju kepada rancangan Perodua untuk menerapkan nilai-nilai eko dalam setiap kemudahan serta operasinya.

“Sebagai syarikat yang beroperasi dalam sebuah industri yang sangat bergantung kepada tenaga dan sumber, Perodua ingin melakukan perubahan melalui produk dan operasinya sekali gus dapat memberi kesan positif kepada dunia.

“Kami ingin membuktikan bahawa kami amat mengambil berat mengenai pemeliharaan alam sekitar dan sentiasa berusaha untuk menjadikan proses dan produk kami terus mesra alam,” ujar Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Perodua ECO Garden dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Tuan Haji Shafe’ee Yasin, mewakili Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim dan Tan Sri Asmat.

Ia adalah bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun serta Bulan ECO Perodua.

Taman tersebut dibina berlandskapkan hutan semula jadi dengan pelbagai flora, termasuk kolam ikan yang menggunakan sisa air yang dirawat, taman rekreasi, pusat informasi serta taman herba organik.

Selain itu, sebahagian besar Perodua ECO Garden dibina daripada bahan sisa kilang yang dikitar semula dan semua lampu serta pam air dikuasai sepenuhnya oleh tenaga elektrik suria.

“Pengurangan sisa adalah komponen penting dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan. Itulah matlamat Perodua dan ia tidak terhad kepada Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kami sahaja.

“Kami akan sentiasa berusaha untuk memastikan setiap aspek operasi Perodua adalah bersandarkan kepada mesra alam, bersih dan hijau.

“Beberapa bangunan di kampus kami sudah pun dipasang dengan panel suria dan sistem pengumpulan dan penggunaan semula air hujan serta pemasangan panel suria 1 MegaWatt di trek ujian kami pula dijangka selesai pada bulan Julai.

“Kami berharap inisiatif ini akan memberi inspirasi kepada kakitangan Perodua, industri dan rakyat Malaysia untuk mengamalkan cara hidup yang lebih mampan dan mesra alam,” jelas Asmat.

Perodua merupakan pengeluar EEV nombor satu di Malaysia. Setakat ini, ia telah menghasilkan dan menjual lebih 650,000 EEV, termasuk Axia, Bezza, Myvi generasi ketiga serta Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) tujuh-tempat duduk, Aruz.

Foto: Perodua