Perodua Myvi Generasi Ketiga Dilancarkan di Singapura

Kredit foto : perodua.com.my

Perodua Myvi generasi ketiga kini telah dilancarkan secara rasmi di Singapura. Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 1.3 X AT dan 1.5 H AT. Kedua-dua model ini masing-masing berharga SGD64,800 (RM197,093) dan SGD69,800 (RM212,301) termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan serta Sijil Kelayakan (COE).

Majlis pelancaran diadakan pada Sabtu lalu (13 April 2019)  di pusat jualan dan servis Perocom Auto Pte Ltd di Ubi dengan dihadiri oleh kira-kira 250 orang pelanggan. Perocom Auto merupakan pengedar sah Perodua yang tunggal di Singapura.

“Kemasukan Myvi generasi ketiga ke Singapura adalah penting bagi jenama kami, walaupun berdepan dengan halangan untuk memasuki pasaran matang ini. Ini juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama Perodua,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Walaupun Perodua sudah mula mengeksport Myvi generasi ketiga ke Indonesia, namun model tersebut menggunakan jenama Daihatsu untuk pasaran di sana dengan nama ‘Sirion’.

Bilangan kenderaan baharu yang didaftarkan di Singapura berbeza dari tahun ke tahun– 80,281 unit pada 2018, 91,922 pada 2017, 87,504 pada 2016 dan 57,589 pada tahun 2015, berdasarkan statistik Lembaga Pengangkutan Darat (LTA).

Walaupun kecil, pasaran automotif Singapura adalah antara yang paling dikawal selia di rantau ini.

“Perodua Myvi mendapat sambutan yang sangat baik oleh rakyat Malaysia, dan di Singapura turut terdapat sekumpulan peminat setia yang menanti-nantikan ketibaan model generasi ketiga ini,” kata Pengarah Urusan Perocom Auto Pte Ltd En John Ng.

 

 

Dilancarkan di Malaysia pada November 2017, Perodua Myvi generasi ketiga merupakan model paling canggih yang dikeluarkan oleh Perodua setakat ini, menawarkan kualiti tinggi, teknologi dan kecekapan bahan api dalam sebuah pakej yang kompak serta bergaya.

Tambahan pula, bahagian upper body Myvi generasi ketiga direka sepenuhnya oleh Perodua.

Perocom Auto, pengedar sah Perodua yang tunggal di Singapura sejak 1997, telah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza di negara tersebut.

Lebih 110,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga telah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini.