Persediaan menghadapi umur baligh

Ruangan Kanak-kanak Zalika Adam 18-Ogo-2020
Menghadapi umur baligh anak-anak © Distinctiveimages | Dreamstime.com

Setiap manusia akan menjalani peringkat kehidupan dari peringkat kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. Terdapat beberapa perubahan emosi dan fizikal apabila anak-anak melalui peringkat baligh.

Pada kebiasaannya, anak-anak perempuan lebih dahulu berhadapan dengan umur baligh. Ada yang sudah datang haid seawal umur 9 tahun. Ada juga yang sedikit lewat sehingga sudah bersekolah menengah. Manakala bagi anak lelaki, kebiasaanya akan sampai umur baligh apabila melangkah ke sekolah menengah, sekitar 12-15 tahun.

Hujah baligh bagi lelaki, Sabda Nabi Muhammad SAW maksudnya: “Diangkat pena pada 3 perkara: Antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.” (Hadis riwayat Abu Daud). Hujah baligh (bagi wanita) pula adalah berdasarkan hadis yang bermaksud: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.” (HR Ahmad, dan Ashab al-Sunan melainkan al-Nasaie dan juga Ibn Khuzaimah, dan al-Hakim daripada Aisyah r.a)

Adapun Abu Hanifah r.a menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Disebabkan itu, Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).” (Surah al-Isra, ayat 34)

Sebagai seorang penjaga kepada anak-anak, beberapa ilmu tentang baligh perlu dipelajari agar dapat membantu mereka berdepan dengan situasi baru di alam baligh. Beberapa tanda baligh bagi anak perempuan:

  • Apabila mendapati darah haid keluar dari kemaluannya
  • Perubahan dari segi dada
  • Tumbuhnya bulu pada kemaluan dan ketiak

Tanda baligh bagi anak lelaki:

  • Keluar air mani melalui mimpi (syahwat)
  • Perubahan suara (garau)
  • Tumbuhnya bulu pada kemaluan, ketiak, janggut dan misai

Beberapa panduan kepada remaja yang mengalami umur baligh:

  • Amalan kebaikan dan kejahatan mula dicatatkan
  • Menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan wanita
  • Menjaga tanggungjawab sebagai seorang Muslim dengan mengerjakan rukun Iman dan rukun Islam
  • Sentiasa menjaga kebersihan. Tuala wanita perlu dibersihkan dan dimasukkan ke dalam plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah
  • Menutup aurat. Aurat bagi wanita ialah seluruh tubuh, kecuali muka dan tapak tangan. Manakala aurat bagi lelaki adalah antara pusat hingga ke lutut
  • Mengetahui cara-cara mandi hadas dengan meratakan air sebelah kanan, diikuti sebelah kiri. Niatnya adalah ‘Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah Taala’

Kebiasaan apabila anak-anak melangkah ke umur baligh, mereka sudah pandai berfikir mana yang baik dan buruk. Pemikiran mereka sedikit matang dari sebelumnya. Kadangkala anak-anak sudah mula bertanyakan tentang pasangan. Jadi, sebagai penjaga perlulah memberikan informasi yang berkesan kepada mereka agar mereka mampu mendepani kehidupan mereka dengan mudah.