Persiapan beroleh kemenangan Aidilfitri

Budaya Hanita Hassan 23-Mei-2020
Salam Aidilfitri, Minal Aidin Wal Faizin © Ellinnur Bakarudin | Dreamstime.com

Alhamdulillah kita masih diberi rezeki untuk terus berada di dalam hari-hari terakhir bulan Ramadan.  Biasanya inilah hari di mana kaum wanita paling sibuk kerana semua pengurusan menjelang sambutan hari raya seperti terletak di bahunya.

Walaupun kita tidak akan meraikan Syawal seperti tahun-tahun sebelumnya, namun raya tetap raya. Persediaan baju raya, kuih raya, mengindahkan rumah, kereta baharu, ketupat dan rendang dan banyak lagi tetap perlu disediakan.

Tidak lengkap berhari raya tanpa baju raja walaupun sepasang.  Itu sebagai tanda bahawa kita menghargai kepayahan yang telah  diharungi sepanjang sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Pusat beli belah sudah mula dihiasi dengan suasana hari raya.  Baju kurung dan baju melayu aneka fesyen dan warna sudah siap disusun di ruang-ruang legar dan di dalam gedung besar.  Hanya menanti tangan-tangan kita untuk mencapainya.

Meskipun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini, dan kita sudah diarahkan untuk tidak balik kampung berhari raya, namun perasaan untuk berhari raya tetap tidak boleh ditahan.  Persediaan menyambut Aidilfitri lebih utama daripada pandemik wabak yang masih berlegar di luar sana.

Kehidupan sudah kembali normal dengan peraturan baharu yang dikekalkan,   memakai topeng muka, menyemak suhu badan pelanggan, menggunakan gel pembersih untuk mengekalkan kebersihan serta menghadkan pelanggan untuk satu jangka masa. Namun semua itu bukan halangan bagi kita yang  teruja menyambut hari raya.

Suatu hal yang memilukan ialah apabila kita tidak boleh ziarah-menziarahi. Anak-anak yang berada di perantauan lebih hiba kerana tidak dapat mencium tangan ibu ayah di pagi raya, merasa juadah ketupat rendang dan lemang memandangkan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan dalam tempoh itu.

Kita bersyukur kerana kerajaan sememangnya cakna membendung wabak COVID-19.  Kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpengkalan di Singapura menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat keempat daripada senarai 105 negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha dilakukan menangani pandemik wabak ini.

Meskipun tidak dapat balik kampung, kita masih berharap agar dapat menunaikan solat sunat hari raya pada pagi satu Syawal nanti.  Seterusnya boleh berjemaah solat lima waktu, solat Jumaat dan melakukan aktiviti di masjid dengan kawalan dan penjarakan yang ditetapkan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Puasa itu adalah hari kalian berpuasa dan Aidilfitri adalah hari kalian berbuka…”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Dawud)

Hadis ini menjelaskan pada tanggal 1 Syawal, umat Islam dilarang berpuasa kerana itu masa untuk menunjukkan Ramadan sudah berlalu dan tuntutan Ramadan sudah berakhir. Maka beruntunglah kepada sesiapa sahaja yang beraya dan telah memanfaatkan Ramadan dengan melakukan banyak amal kebajikan.

Sesungguhnya hari raya adalah hari kemenangan umat Islam.  Kita bergembira kerana dapat melawan hawa nafsu dan menikmati kurniaan Allah SWT.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud:  “Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya.”  (HR Muslim)

Salam Aidilfitri, semoga kita tergolong dalam orang yang kembali ke fitrah dan beroleh kemenangan dalam berpuasa dan menahan hawa nafsu, Minal Aidin Wal Faizin.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!