Pertandingan Fotografi Shah Alam 2019 Tawar Hadiah Berjumlah RM21,000

Suka Rahayu Mat Nah 14-Jun-2019

Jika fotografi merupakan hobi anda, jom rebut peluang meraih sejumlah wang tunai menerusi Pertandingan Fotografi Shah Alam 2019 yang kini sedang berlangsung sehingga 30 Ogos hadapan.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ini bertemakan ‘Kami Sayang Shah Alam’ dan diadakan buat julung-julung kalinya dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM21,000 berserta sijil kepada setiap pemenang.

Tiada sebarang yuran atau caj penyertaan dikenakan dan ia terbuka kepada seluruh warga Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu senibina, alam semulajadi dan gaya hidup.

Pemenang akan dinilai melalui beberapa aspek berdasarkan tema, komposisi keaslian, kreativiti dan aplikasi teknik fotografi yang terbaik, selain foto diambil perlu diambil di sekitar kawasan pentadbiran MBSA.

Pemenang tempat pertama untuk setiap kategori akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, tempat kedua RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000. Terdapat juga hadiah saguhati berupa wang tunai RM200 untuk lima pemenang setiap kategori.

Borang penyertaan boleh didapati di Bahagian Korporat & Perhubungan Awam di Tingkat G, Wisma MBSA atau layari, http://bit.ly/2KPNLa6

Selain itu anda juga boleh ke akaun Facebook MBSA untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kredit foto : Fahrul Azmi, Unsplash