Pertanian adalah kehidupan

Alam Sekitar Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Pertanian adalah kehidupan
Pertanian adalah kehidupan © Tutiya Viboonattakorn | Dreamstime.com

Kalau dahulu petani menggunakan kudratnya disokong dengan bantuan binatang ternakan dalam melakukan kerja-kerja pembajakan tanah.  Hari ini dengan teknologi, ia boleh meningkatkan hasil tanah, buruh dan rantaian bekalan yang singkat dan pasaran yang luas.

Apakah hukum bertani, fardu ain atau kifayah?

Hukum bertani boleh jadi fardu ain, iaitu kewajipan yang mesti dilakukan.  Ia menjadi kewajipan sekiranya inilah satu-satunya sumber pendapatan untuk kita dan keluarga.  Apabila kita mendapat arahan kerajaan untuk mengusahakan pertanian kerana kepakaran yang kita miliki, ia menjadi wajib demi menampung keperluan negara.

Pertanian juga boleh menjadi fardu kifayah sekiranya ramai yang mengusahakannya serta memberi hasil yang cukup demi kepentingan awam.  Selain mengeluarkan bekalan makanan yang mencukupi kepada semua.

Fardu kifayah adalah lebih mulia dan penting bagi kita yang melakukannya.  Pendapat daripada fuqaha Islam bahawa pertanian lebih afdal atau utama di sisi agama berbanding dengan perniagaan, perusahaan atau perkilangan.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang pertanian yang bermaksud:  

“Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”

(Hadis riwayat Ahmad, 3/183); al-Tayalisi dalam Musnadnya, 2068 dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, 479)

Hadis ini disebut oleh Imam al-‘Aini bahawa keutamaan mencari rezeki adalah dengan tangan sendiri. (Lihat Umdah al-Qari, 12/155).  Begitu juga dengan Imam al-Son’ani.  Beliau berkata: ‘Padanya terdapat galakan untuk bercucuk tanam tumbuhan dan benih serta padanya kebaikan yang banyak.’ (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 4/241)

Hadis ini menggambarkan betapa penting bidang pertanian sehingga hampir kiamat pun digalakkan bercucuk tanam oleh Rasulullah SAW. Bidang pertanian tidak boleh diabaikan sama sekali kerana ia adalah penyumbang utama kepada kehidupan manusia.

Pertanian adalah kehidupan, merupakan satu ibadah

Dalam konteks ini, jelaslah bahawa pertanian merupakan satu ibadah.  Pertanian adalah kehidupan. Malaysia sangat serius memastikan rakyatnya mendapat bekalan makanan mencukupi. Dasar Agromakanan Negara (2011 – 2020) yang digubal telah menggariskan beberapa objektif.

Menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan.  Menjadikan industri agromakanan sebagai industri berdaya saing dan mampan serta meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani.

Banyak ayat al-Quran yang memaparkan mengenai hasil tanaman dan buah-buahan. Ia membuktikan betapa pentingnya industri pertanian daripada perspektif Islam.

Kekuasaan Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-­tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugus­-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah al-An’am, ayat 99)

Sesungguhnya pertanian boleh mendekatkan diri kepada Allah Taala.  Inilah  tanda kebesaran-Nya menghidupkan tumbuh-tumbuhan atau binatang ternakan. Pekerjaan yang memahamkan kita hakikat  tawakal dan beriman dengan kekuasaan Allah.

Kita bekerja keras dan menggunakan segala kudrat dan teknologi.  Pada akhirnya yang memberi bantuan melalui hasil tanaman adalah Allah SWT.