Pertolongan kecil dibalas berkali ganda

Kehidupan Chan Abdullah 11-Jul-2020
Pertolongan kecil dibalas berkali ganda © facebook.com/unclekentang

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada bulan Mac 2020 yang lalu, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu yang giat menabur bakti membantu rakyat Malaysia yang memerlukan. Antara nama yang sering menjadi bualan dan perhatian sudah tentunya Ustaz Ebit Lew dan Encik Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang yang giat membantu golongan yang memerlukan.

Baru-baru ini pula, berdasarkan hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Uncle Kentang seorang lelaki yang hanya mahu dikenalai sebagai Haiqal telah menderma 500 kg ikan kepada Uncle Kentang untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Hasil bacaan lanjut mendapati, orang yang menderma 500 kg ikan itu pernah dibantu oleh Uncle Kentang di masa awal PKP dilaksanakan.

Menurut Haiqal, Uncle Kentang pernah membantu beliau dari segi kewangan sewaktu awal PKP dahulu. Menurutnya dia buntu kerana hilang punca pencarian sebagai ejen jualan langsung kerana tiada orang yang mahu membeli barangan yang dijualnya. Buntu, dia menghubungi Uncle Kentang dan menceritakan masalahnya dan meminta bantuan.

Tanpa banyak soal, Uncle Kentang telah memberikan bantuan sebanyak RM60 kepada Haiqal. Menurut Uncle Kentang, hanya itu yang mampu diberikan pada waktu itu, kerana terlalu ramai orang yang turut meminta bantuan daripadanya. Sumbangan Uncle Kentang telah digunakan Haiqal untuk membeli barangan keperluan seperti beras supaya keluarganya tidak kelaparan.

Selepas peristiwa itu, Haiqal ditawar bekerja sebagai pemborong ikan. Alhamdulillah, kehidupan beliau dan keluarga kembali stabil. Sebagai mengingati jasa Uncle Kentang ketika dia ditimpa kesusahan, Haiqal mahu membalas semula pertolongan yang diterima.

Selain itu Haiqal tahu, ikan yang disumbangnya akan diagihkan oleh Uncle kentang kepada mereka yang memerlukan. Menurut Uncle Kentang, beliau menerima panggilan telefon bimbit dan di skrin tertera ‘COVID Bagan Serai.’ Menurut beliau lagi, Haiqal bukan sekadar mahu berterima kasih kerana membantunya dahulu tetapi mahu menyumbang 500 kg ikan kepadanya.

Benarlah apabila membuat satu kebaikan, Insya-Allah akhirnya akan dibalas berlipat kali ganda oleh Allah SWT. Satu kebaikan yang dilakukan walaupun kecil di mata manusia, amat besar nilainya di sisi Allah. Marilah kita saling berbuat baik sesama manusia sebagaimana yang telah disyariatkan ke atas kita.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!