Petronas Angkat Tema Persefahaman Dan Perbezaan Budaya Dalam ‘UNI’

Masih ingatkah anda ketika berada di zaman persekolahan dahulu, di mana setiap kali menjelangnya hari merdeka, pasti akan muncul iklan-iklan bertemakan kemerdekaan di kaca televisyen.

Saban tahun, iklan yang sering mendapat perhatian dan menyentuh hati rakyat Malaysia adalah tidak lain dan tidak bukan, iklan keluaran Petronas.

Bukan sahaja jalan ceritanya yang menarik, mempunyai maksud tersurat dan tersirat serta menyentuh perasaan, iklan kemerdekaan Petronas yang dahulunya sebahagian besar diarahkan oleh pengarah terkenal, Allahyarhamah Yasmin Ahmad itu seolah-olah telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk iklan-iklan lain di Malaysia.

Jika anda masih ingat pada iklan-iklan yang lepas seperti One Little Indian Boy, Tan Hong Ming, Local Hero, Letchumi & Rokiah, Param’s Bicycle dan banyak lagi, kesemuanya menjadi bualan setiap daripada kita dan dekat di hati rakyat Malaysia, malahan boleh diingati sehingga kini.

Meneruskan tradisi saban tahun, syarikat minyak dan gas nasional itu pada tahun ini sekali lagi mengeluarkan iklan bertemakan kemerdekaan dalam bentuk filem web yang berjudul UNI.

Diarahkan oleh Ismail Kamarul, UNI mengangkat tema kehidupan di kampus yang melambangkan ‘mini Malaysia’ dengan kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan nilai.

UNI mengisahkan tentang dua orang anak muda yang baru memasuki alam universiti, iaitu Roger yang berasal dari Sabah dan Rizwan yang berasal dari Kedah.

Roger, seorang yang agak pendiam dan pemalu bergelut untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, di mana dia turut dibuli oleh Rizwan yang lebih nakal.

Bagaimanapun, keadaan mula berubah apabila mereka berdua diberi tugasan oleh pensyarah untuk menyiapkan kerja kursus berkumpulan, secara berdua.

Bermula dari situ, kedua-duanya mula mengenali hati budi, saling bertolak ansur dan menghormati budaya masing-masing dan akhirnya menjadi teman rapat.

Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Kumpulan Petronas, Zahariah (Liza) Abdul Rahman, filem web itu mengetengahkan kehidupan dinamik berwarna-warni masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya.

“Ada masanya, perbezaan budaya ini menguji kita semua, namun ia sebenarnya yang menyatukan kita, yang akhirnya mewujudkan persefahaman dan penerimaan,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran filem web itu baru-baru ini.

Berdurasi 5 minit 50 saat, UNI kini boleh ditonton di saluran YouTube Petronas.