Petua khatam Al-Quran sewaktu Ramadan

Agama Abi Aasim 11-Mei-2020
Cuba khatam Al-Quran sewaktu berpuasa Ramadan © Odua | Dreamstime.com

Bulan Ramadan tahun ini sudah masuk ke separuh masa yang kedua. Amatlah rugi jika kita sebagai orang Muslim tidak menggandakan amalan kita di bulan yang mulia ini. Amalan seperti menghidupkan malam hari, bersedekah dan khatam Al-Quran bolehlah kita lakukan.

Untuk khatam Al-Quran, bukanlah sesuatu yang mudah jika tidak tahu caranya. Sibuk dengan kerja dan urusan lain seringkali membantutkan kita untuk berjaya khatam Al-Quran di bulan Ramadan. Namun, jika kita tahu cara dan aturannya, bukan sahaja di bulan Ramadan, malah di bulan-bulan lain juga kita mampu untuk khatam Al-Quran.

Beberapa petua mudah untuk khatam Al-Quran boleh dimulakan dengan memahami dulu asas tentang Al-Quran – Al Quran mempunyai 604 halaman. Di dalam bulan Ramadan terdapat 30 hari. Jadi, di dalam masa sehari, perlu dibaca lebih kurang 20 helai halaman Al-Quran. Bakinya boleh dihabiskan pada hari yang terakhir.

Pecahkan masa untuk membaca setiap hari selepas solat fardu. Contohnya, empat halaman selepas solat subuh dan seterusnya sehingga solat isyak setiap hari. Tanamkan azam dan pasang niat untuk berjaya khatam Al-Quran di bulan Ramadan pada setiap tahun. Apabila kita berazam dan mempunyai niat yang betul, Insya-Allah kita akan berusaha sedaya upaya.

Manfaatkan juga penggunaan teknologi. Bagi yang bekerja, mungkin sukar untuk membawa Al-Quran ke tempat kerja setiap hari. Apa yang boleh dilakukan ialah buat catatan surah dan ayat terakhir yang dibaca setelah setiap kali sesi terakhir bacaan Al-Quran dilakukan.

Dengan cara ini, mana-mana Al-Quran sama ada di surau atau pun di tempat kerja boleh digunakan untuk terus menyambung bacaan. Paling tidak, gunakan aplikasi Al-Quran yang biasa terdapat di telefon pintar. Cuma, adalah lebih baik jika Al-Quran dapat digunakan untuk meneruskan bacaan.

Akhir sekali, sediakan masa khusus untuk membaca Al-Quran. Gunakan masa makan tengah hari sebagai ganti untuk membaca Al-Quran. Insya-Allah, berkat masa yang digunakan, berkhatam Al-Quran boleh dicapai di dalam bulan Ramadan.

Sama-samalah kita sebagai Muslim berusaha untuk meneruskan amalan khatam Al-Quran ini selepas berakhirnya Ramadan. Semoga usaha kita menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW ini mendapat ganjaran daripada Allah SWT.